[VIDEO] ‘Saya tak rasa FIFA akan tukar keputusan’ – TMJ

A
A
A

PEMANGKU Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail berpandangan bahawa Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berkemungkinan besar tidak akan mengubah keputusan terhadap hukuman yang dikenakan ke atas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) serta tujuh pemain warisan Harimau Malaya.

Baginda yang juga pencetus revolusi bola sepak negara itu berkata, keputusan tersebut mungkin hanya diringankan, namun tidak dibatalkan sepenuhnya.

“...Namun saya rasa FIFA tak akan tukar keputusan, mungkin hanya ringankan hukuman tersebut. Mereka mungkin akan denda, potong mata Harimau Malaya dan menggantung pemain-pemain terlibat.

“Walau apa pun keputusan nanti, peguam kami tetap akan berusaha mencari jalan penyelesaian terhadap isu ini. Sebab itu FAM masih berjuang hingga ke peringkat ini,” titah baginda dalam sidang akhbar pada Sabtu.

Baginda turut menjelaskan bahawa kesilapan teknikal ketika proses penghantaran dokumen mungkin menjadi punca utama isu ini timbul, namun menegaskan perkara tersebut melibatkan aspek integriti dan legitimasi yang tidak boleh dipersoalkan dari sudut perlembagaan.

“kesilapan teknikal itu berlaku ketika dokumen dihantar... mungkin sebab itu Setiausaha Agung digantung. Bila sampai soal integriti, kita tak boleh persoalkan kerana dari segi perlembagaan pemain ini sah dari segi undang-undang.

"Pemain tidak tahu apa-apa. Mereka tidak patut terlibat atau digantung tetapi undang-undang tetap undang-undang. Kita perlu hormati proses yang sedang berjalan,” titah baginda lagi.

Tambah TMJ, pihaknya akan terus memperjuangkan keadilan buat FAM dan para pemain melalui saluran yang sah.

“Kita akan tetap lakukan rayuan berdasarkan dokumen dan bukti yang kita ada," katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, FAM serta tujuh pemain warisan terbabit dikenakan tindakan oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA selepas didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.

Pemain terlibat ialah Joao Figueiredo, Jon Irazabal, Hector Hevel, Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado dan Imanol Machuca.

FAM turut dikenakan denda kira-kira RM1.8 juta, manakala setiap pemain didenda RM10,560 serta digantung 12 bulan daripada sebarang aktiviti bola sepak.

Badan induk bola sepak negara itu sebelum ini mengakui berlaku kesilapan teknikal oleh kakitangan dalam proses penyerahan dokumen dan menegaskan perkara itu dipandang serius. FAM telah mengemukakan rayuan rasmi kepada FIFA dan keputusan dijangka diumumkan pada 30 Oktober ini.

Ringkasan AI

  • PEMANGKU Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail berpandangan FIFA mungkin ringankan hukuman FAM dan pemain tapi tak batalkan sepenuhnya
  • Kesilapan teknikal dalam penghantaran dokumen menjadi punca utama isu, namun aspek integriti dan legitimasi tidak boleh dipersoalkan
  • FAM dan tujuh pemain warisan Harimau Malaya dikenakan tindakan oleh FIFA kerana pemalsuan dokumen
  • FAM didenda kira-kira RM1.8 juta dan pemain didenda serta digantung daripada aktiviti bola sepak
  • FAM telah mengemukakan rayuan rasmi kepada FIFA dengan keputusan dijangka pada 30 Oktober

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!