'Kami sepatutnya tidak tewas di laman sendiri'- Pan-gon

Penjaga gol Star City FC, Farhan Majid (kanan) menumbuk bola daripada asakan pemain Selangor FC pada perlawanan suku akhir kedua Piala FA 2026/2027 di di Stadium MBPJ. Foto: Bernama
Penjaga gol Star City FC, Farhan Majid (kanan) menumbuk bola daripada asakan pemain Selangor FC pada perlawanan suku akhir kedua Piala FA 2026/2027 di di Stadium MBPJ. Foto: Bernama
A
A
A

PENGENDALI Selangor FC, Kim Pan-gon mengakui kecewa susulan kekalahan di laman sendiri biarpun skuad bimbingannya berjaya mengesahkan kemaraan ke separuh akhir Piala FA menerusi kelebihan agregat.

Dalam aksi suku akhir kedua di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada Ahad, skuad Gergasi Merah tewas 2-3 kepada Star City FC.

Bagaimanapun, Selangor tetap melangkah ke pusingan seterusnya menerusi agregat 6-4 berbekalkan kemenangan selesa 4-1 pada aksi suku akhir pertama sebelum ini.

Pan-gon berkata, aksi pertama selepas rehat kalendar Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) sentiasa memberi cabaran tersendiri kepada mana-mana pasukan biarpun mereka memulakan perlawanan dengan baik.

Menurut pengendali kelahiran Korea Selatan itu, keputusan melakukan eksperimen pada babak kedua dengan menguji beberapa pemain di posisi berbeza tidak memberi hasil yang diharapkan sepenuhnya.

"Sebenarnya selepas cuti antarabangsa FIFA, perlawanan pertama sentiasa sukar untuk kami. Namun, kami bermula dengan baik dan pada separuh masa kedua, saya rasa kedudukan sudah agak selamat.

"Jadi, saya ingin melihat sedikit eksperimen serta memberi tugasan kepada pemain tertentu di posisi berbeza. Saya mahu memberi ruang sebanyak mungkin kepada mereka membuktikan keupayaan di posisi lain.

"Ia adalah satu eksperimen di mana ada bahagian yang berjaya, namun ada juga yang tidak menjadi," katanya.

Dalam pada itu, Pan-gon menzahirkan permohonan maaf kepada para penyokong setia Selangor FC dan menegaskan pasukannya tidak sepatutnya tumpas apabila beraksi di hadapan peminat sendiri.

Artikel Berkaitan:

"Saya berasa amat bersalah kepada penyokong Selangor kerana beraksi di gelanggang sendiri, kita tidak sepatutnya kalah dan memberi kekecewaan sebegini kepada mereka.

"Kami perlu segera bangkit dan membuat persiapan rapi untuk fasa seterusnya. Kami akan kembali lebih kuat selepas ini," ujarnya.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!