Lima hari penentu nasib FAM, tujuh pemain warisan

TEMPOH lima hari mendatang bakal menjadi detik penting buat Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) apabila keputusan rayuan rasmi kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dijangka diumumkan pada 30 Oktober ini.
Keputusan tersebut bakal menentukan sama ada tujuh pemain warisan negara dibenarkan kembali menyarung jersi Harimau Malaya atau terus digantung selama 12 bulan daripada mewakili skuad kebangsaan.
Jika FIFA menolak rayuan tersebut, FAM dijangka terpaksa meneruskan perjuangan di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) menjadikan proses yang jauh lebih kompleks dan panjang.
Difahamkan, perbicaraan di CAS boleh mengambil masa antara dua hingga tiga bulan sebelum keputusan muktamad diumumkan.
Dalam tempoh tersebut, pemain warisan terbabit akan terus tidak dapat diturunkan sekali gus memberi kesan besar kepada persiapan Harimau Malaya bagi kempen antarabangsa akan datang termasuk dua lagi aksi penting menentang Nepal dan Vietnam dalam Kempen Kelayakan Piala Asia.
Dalam sidang akhbar baru-baru ini, peguam antarabangsa yang dilantik FAM, Serge Vittoz tampil menjelaskan kedudukan sebenar rayuan berkenaan.
Beliau menegaskan bahawa rayuan yang difailkan bukan bertujuan untuk menafikan kewujudan isu dokumen pemain warisan, sebaliknya menuntut agar prinsip keadilan, prosedur dan bukti dikaji semula oleh FIFA dengan lebih teliti.
Menurutnya, FAM hanya mahu memastikan setiap pemain dinilai secara sahih berdasarkan bukti kukuh dan undang-undang sedia ada.
Bagaimanapun, persoalan utama yang masih belum dijawab oleh FAM ialah mengenai status sebenar dokumen kelahiran tujuh pemain terbabit.
Adakah benar mereka memiliki salasilah warisan Malaysia yang sah, atau wujud kecuaian dari segi pengesahan dokumen? Kekaburan ini menimbulkan pelbagai spekulasi dalam kalangan penyokong.
Kekaburan itu menyebabkan kedudukan FAM dilihat agak sukar meskipun masih mempunyai ruang untuk mempertahankan hujah dengan dokumen sokongan yang kukuh.
Bagi penyokong, sudah tentu ramai yang berharap keputusan FIFA kelak berpihak kepada Malaysia supaya tumpuan boleh kembali diberikan kepada pembangunan pasukan dan persiapan perlawanan penting akan datang.
Sekiranya rayuan diterima, ia bukan sahaja membersihkan nama baik FAM dan pemain warisan, malah mampu mengembalikan semangat perjuangan skuad negara.
Namun, jika keputusan tidak memihak kepada FAM, situasi itu dijangka memberi tamparan hebat bukan sahaja kepada pasukan kebangsaan malah kepada kredibiliti pengurusan bola sepak negara secara keseluruhan.
Ringkasan AI
- Tempoh lima hari mendatang adalah detik penting buat FAM dengan keputusan rayuan rasmi kepada FIFA diumumkan pada 30 Oktober
- Keputusan dari FIFA akan menentukan status tujuh pemain warisan sama ada dibenarkan bermain untuk Harimau Malaya atau digantung selama 12 bulan
- Jika rayuan ditolak, FAM akan meneruskan perjuangan di CAS yang boleh mengambil masa dua hingga tiga bulan
- Dalam tempoh itu, pemain warisan tidak akan dapat bermain, memberi kesan kepada persiapan Harimau Malaya untuk kempen antarabangsa
- Rayuan FAM bertujuan memastikan pemain dinilai secara sahih, menuntut agar prinsip keadilan, prosedur dan bukti dikaji semula oleh FIFA
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
