Anak maut di taska: Tiga puteri kembar pengubat duka 'kehilangan' arwah Al Fateh


MELAKA – Pasangan suami isteri dari Alor Gajah yang pernah diuji kehilangan anak tunggal mereka tahun lalu kini kembali tersenyum apabila dikurniakan tiga cahaya mata perempuan kembar.
Kisah pasangan Mejar Ir Ts Mohd Fikry Amri dan isterinya, Sabrina Hakiem pernah tular di media sosial menerusi tanda pagar #JusticeForAlFateh selepas anak mereka, Allahyarham Al Fateh meninggal dunia di sebuah taska tahun lalu.
Mohd Fikry berkata, beliau dan isteri menjalani rawatan persenyawaan tabung uji (IVF) menerusi kurniaan khas Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bermula Februari lalu sebelum isterinya selamat melahirkan tiga bayi perempuan secara pembedahan di Hospital Melaka pada jam 9.40 pagi, Jumaat.
Menurutnya, bayi pertama seberat 1.8 kilogram dilahirkan pada jam 9.40 pagi, diikuti bayi kedua seberat 1.78 kilogram (9.42 pagi) dan bayi ketiga seberat 1.93 kilogram (9.46 pagi).
"Kami amat terharu dan menjunjung kasih Tuanku Azizah atas keprihatinan dan bantuan baginda yang menjadi asbab kelahiran tiga puteri ini, sesungguhnya rezeki ini tidak ternilai.
"Jutaan terima kasih juga kepada semua yang mendoakan kesejahteraan kami," katanya pada Sabtu.
Jelasnya, isteri dan anak-anak dalam keadaan baik dan dia berterima kasih kepada pasukan perubatan yang menjaga isterinya sepanjang 73 hari berada di wad bagi pemantauan sebelum bersalin.
Mohd Fikry turut terharu apabila pihak Hospital Melaka meraikan mereka suami isteri memandangkan sudah sekian lama hospital tersebut tidak menerima kes kelahiran bayi kembar tiga.
“Semoga ALLAH SWT membalas jasa para doktor, jururawat dan kakitangan Hospital Melaka dengan pahala berganda dan dijadikan asbab untuk kita semua masuk syurga tanpa hisab," katanya lagi.
Jelas Mohd Fikry dalam menerima berita gembira itu, beliau turut mengenang anak sulungnya yang meninggal dunia tahun lalu.
“Al Fateh pasti tersenyum di taman syurga tengok mummy dan daddy dia sekarang.
"Hari Jumaat Al Fateh dijemput menghadap PenciptaNya, dan Jumaat juga ALLAH hadirkan puteri-puteri adik Al Fateh kepada kami. Perancangan ALLAH adalah yang terbaik," ujarnya lagi.
Pada September tahun lalu, media melaporkan Muhammad Al Fateh yang berusia lapan bulan meninggal dunia di taska.
Zuriat yang dinantikan selama 13 tahun oleh pasangan itu diperlakukan kejam oleh pengasuh yang menyumbat botol susu dan menekup muka bayi dengan bantal hingga mengakibatkan kematian.
Ringkasan AI
- Pasangan suami isteri dari Alor Gajah yang kehilangan anak tunggal mereka kini dikurniakan tiga cahaya mata perempuan kembar
- Kisah pasangan ini pernah tular di media sosial menerusi tanda pagar #JusticeForAlFateh selepas anak mereka meninggal di taska
- Mohd Fikry dan isteri menjalani rawatan IVF dengan bantuan khas dari Tengku Ampuan Pahang sebelum melahirkan tiga bayi perempuan
- Bayi-bayi tersebut dilahirkan dengan selamat di Hospital Melaka dan keadaan isteri serta anak-anak dalam keadaan baik
- Pasangan ini juga mengenang anak sulung mereka yang meninggal di taska dan merasa perancangan ALLAH adalah yang terbaik
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

