Kes bunuh sepupu: ‘Aku buat anak kamu begini kerana dia telah tularkan anak aku'

Wan Salma (kiri) menceritakan semula detik-detik cemas yang dilalui kepada saudara mara di rumahnya di Kampung Kok Bedollah, Tumpat pada Sabtu. Foto SINAR HARIAN/HAZELEN LIANA KAMARUDIN
Wan Salma (kiri) menceritakan semula detik-detik cemas yang dilalui kepada saudara mara di rumahnya di Kampung Kok Bedollah, Tumpat pada Sabtu. Foto SINAR HARIAN/HAZELEN LIANA KAMARUDIN
A
A
A

TUMPAT – “Aku buat anak kamu begini kerana dia telah tularkan anak aku.” Itu kata-kata yang masih terngiang di telinga seorang ibu warga emas selepas menyaksikan anak lelakinya maut ditetak bertubi-tubi oleh sepupu sendiri dalam kejadian tragis di Kampung Kok Bedollah di sini, malam Jumaat.

Mangsa, Mohd Suhairi Hasim, 46, yang bekerja sebagai pemandu jengkaut dan bapa kepada dua anak, ditemukan berlumuran darah kira-kira jam 11 malam oleh ibunya, Wan Salma Wan Said, 68.

Menceritakan detik ngeri itu, Wan Salma berkata, dia sedang bersiap untuk tidur apabila terdengar jeritan kuat anaknya dari luar rumah.

Ahli keluarga menunjukkan lokasi di mana Mohd Suhairi ditemui maut
selepas dipercayai ditetak bertubi-tubi di beberapa bahagian sehingga menyebabkan tangan kiri dan kaki kanan putus dalam kejadian di Kampung Kok Bedollah, Tumpat pada Jumaat. Foto SINAR HARIAN/HAZELEN LIANA KAMARUDIN
Ahli keluarga menunjukkan lokasi di mana Mohd Suhairi ditemui maut selepas dipercayai ditetak bertubi-tubi di beberapa bahagian sehingga menyebabkan tangan kiri dan kaki kanan putus dalam kejadian di Kampung Kok Bedollah, Tumpat pada Jumaat. Foto SINAR HARIAN/HAZELEN LIANA KAMARUDIN

“Saya dengar dia menjerit ‘ALLAH... ALLAH...’ lebih 20 kali. Saya terus bangun dan tanya dari tingkap, ‘Kamu bergaduh dengan siapa pula, Hairi?’ tapi dia tak menjawab,” katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Sabtu.

Bimbang sesuatu berlaku, Wan Salma bergegas keluar menuju ke kawasan anaknya mencuci jengkaut yang terletak berhampiran rumah.

Dalam kegelapan malam, dengan penglihatan yang rabun, dia menyangka lelaki yang berdiri di hadapan jengkaut itu adalah Mohd Suhairi.

Namun sangkaannya meleset apabila lelaki tersebut merupakan anak saudaranya sendiri, bersuara dengan nada tenang tetapi menggerunkan.

Artikel Berkaitan:

“Dia kata, ‘Aku buat anak kamu begini kerana dia telah tularkan anak aku,’ sebelum terus berlalu pergi membawa senjata seperti parang,” cerita Wan Salma.

Menurutnya, dia hanya mampu kaku melihat anaknya terbujur kaku dalam keadaan mengerikan dengan tangan kiri dan kaki kanan putus, selain luka parah di pipi, belakang dan bahu.

“Darah memenuhi tubuhnya… saya terus menjerit panggil anak-anak lain yang tinggal berdekatan untuk datang membantu,” katanya sebak.

Mayat Mohd Suhairi dibawa ke Hospital Tumpat untuk bedah siasat, dan jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Mukim Kok Bedollah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Mohd Khairi Shafie, mengesahkan kejadian dan memaklumkan suspek berusia 40-an telah ditahan dan dibawa ke Mahkamah Pasir Mas untuk permohonan reman bagi siasatan lanjut.

Ringkasan AI

  • Seorang ibu warga emas menyaksikan anak lelakinya maut ditetak oleh sepupu dalam kejadian di Kampung Kok Bedollah
  • Mangsa, Mohd Suhairi Hasim, seorang pemandu jengkaut dan bapa kepada dua anak, ditemukan berlumuran darah
  • Wan Salma mendengar jeritan kuat anaknya dari luar rumah sebelum menemukan anaknya dalam keadaan tragis
  • Penyerang, yang merupakan anak saudaranya, menyatakan motif dendam kerana mangsa telah menularkan penyakit kepada anaknya
  • Ketua Polis Daerah Tumpat mengesahkan kejadian dan suspek telah ditahan untuk siasatan lanjut

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!