Langkah Jun Hao belum elit tapi haluan tampak jelas

PENGARAH kejurulatihan perseorangan negara, Kenneth Jonassen menyifatkan Leong Jun Hao berada di landasan tepat untuk menjadi pemain lengkap meskipun tumbang kepada juara Olimpik dua kali, Viktor Axelsen pada pusingan pertama Terbuka Perancis Super 750 di Glaz Arena, Cesson-Sevigne baru-baru ini.
Menurut Jonassen, Jun Hao semakin memahami kepentingan mengimbangi keempat-empat aspek utama permainan di peringkat elit dunia iaitu teknikal, taktikal, ketahanan mental dan kekuatan fizikal.
“Saya fikir Jun Hao kini dalam proses memahami betapa pentingnya setiap aspek permainan.
“Di tahap ini, apabila berdepan pemain terbaik dunia, jika salah satu aspek itu lemah, anda akan mudah tewas. Jadi anda tidak boleh bergantung hanya kepada satu atau dua kekuatan,” katanya kepada Sukan Sinar.
Dalam aksi di Glaz Arena, Jun Hao tewas 16-21, 15-21 dalam masa 43 minit juga merupakan kekalahan kedua kepada Axelsen selepas pertemuan di suku akhir Terbuka Singapura Super 750 tahun lalu.
Mengulas lanjut, Jonassen mengakui terdapat banyak peningkatan positif dalam corak permainan Jun Hao, namun menegaskan masih ada ruang besar yang perlu diperbaiki sebelum pemain itu benar-benar mampu menyaingi kelompok elit dunia.
“Saya suka beberapa perkara yang ditunjukkannya terutama keberanian dan pilihan pukulan yang matang.
“Tapi masih ada kerja keras yang perlu dilakukan sebelum kita boleh katakan dia sudah di tahap itu.
“Hanya pemain yang mampu menguasai semua aspek bersama gaya hidup berdedikasi 100 peratus akan benar-benar layak menjadi pencabar kejuaraan besar,” ujarnya.
Ringkasan AI
- Kenneth Jonassen menyatakan Jun Hao berada di landasan tepat untuk menjadi pemain lengkap walaupun kalah daripada Viktor Axelsen
- Jun Hao semakin memahami pentingnya mengimbangi teknikal, taktikal, ketahanan mental dan kekuatan fizikal dalam badminton
- Kelemahan dalam salah satu aspek permainan boleh menyebabkan kekalahan mudah ketika berdepan pemain terbaik dunia
- Walaupun ada peningkatan positif dalam permainan Jun Hao, masih terdapat banyak ruang untuk penambahbaikan
- Hanya pemain yang menguasai semua aspek badminton dengan dedikasi 100 peratus akan layak menjadi pencabar kejuaraan besar
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
