Brighton mampu teruskan sengsara United di Old Trafford

MANCHESTER United mungkin berjaya mencipta kemenangan dramatik ke atas Liverpool minggu lalu, namun ramai berpendapat skuad bimbingan Ruben Amorim hanya bernasib baik dan ujian sebenar menanti mereka apabila Brighton bertandang ke Old Trafford tengah malam ini.
Walaupun tiga mata di Anfield dianggap suntikan moral besar, ramai pemerhati bola sepak melihat kemenangan itu belum cukup untuk membuktikan United sudah kembali stabil.
Brighton pula hadir dengan keyakinan tinggi selepas menewaskan Newcastle 2-1 dan kini menghuni tangga ke-10 Liga Perdana Inggeris (EPL).
Lebih membimbangkan penyokong United, The Seagulls memiliki rekod hebat di Old Trafford iaitu tidak pernah tewas sejak Februari 2022 dan menang enam daripada lapan pertemuan sejak musim 2021/22.
Penganalisis BBC, Chris Sutton percaya rekod itu akan berterusan di bawah kendalian Fabian Hurzeler malah menjangkakan Danny Welbeck akan “menghantui” bekas kelabnya sekali lagi.
“United bernasib baik ketika menentang Liverpool minggu lalu.
“Walaupun kemenangan di Anfield penting, ia belum cukup membuktikan mereka sudah stabil,” katanya sambil meramalkan Brighton menang 2-1.
Namun, legenda United Gary Neville dan Paul Scholes mempunyai pandangan berbeza.
Kedua-duanya yakin kemenangan ke atas Liverpool menjadi titik kebangkitan sebenar skuad Amorim.
“United. Inilah masanya. Saya rasa United akan menang 3-1,” tegas Neville.
Bagaimanapun, dengan Brighton sudah menang dalam tiga kunjungan terakhir ke Old Trafford, ramai menjangka mereka mampu sekali lagi membuat penyokong United termenung tengah malam ini.
Ringkasan AI
- Manchester United mungkin berjaya mencipta kemenangan dramatik ke atas Liverpool minggu lalu, namun ramai berpendapat skuad bimbingan Ruben Amorim hanya bernasib baik
- Brighton datang dengan keyakinan tinggi selepas menewaskan Newcastle dan menduduki tangga ke-10 Liga Perdana Inggeris
- Brighton memiliki rekod hebat di Old Trafford dengan tidak pernah kalah sejak Februari 2022 dan menang enam daripada lapan pertemuan terakhir
- Penganalisis BBC, Chris Sutton, meramalkan Brighton akan menang 2-1 atas United
- Legenda United, Gary Neville dan Paul Scholes, berpendapat kemenangan atas Liverpool adalah titik kebangkitan skuad Amorim
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

