KPN arah rondaan polis di sekolah dipertingkat

Muka depan Sinar Harian mengenai keselamatan pelajar sekolah. (Gambar kecil: Mohd Khalid)
Muka depan Sinar Harian mengenai keselamatan pelajar sekolah. (Gambar kecil: Mohd Khalid)
A
A
A

KUALA LUMPUR – Semua ketua polis negeri diarah mempertingkat rondaan di kawasan sekolah bagi memastikan keselamatan pelajar dan warga pendidik sentiasa terjamin.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, langkah itu melibatkan rondaan berkala oleh unit peronda, pasukan risikan jenayah serta unit pemantauan khas bagi mengenal pasti sebarang ancaman atau aktiviti yang boleh menjejaskan keselamatan di sekolah.

"Saya telah mengarahkan semua ketua polis negeri untuk melaksanakan rondaan sama ada menerusi unit peronda atau pelbagai elemen lain.

"Jika perlu, anggota boleh bergerak terus ke kawasan sekolah dalam tempoh satu hingga lima minit menggunakan kenderaan rondaan," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini pada Jumaat.

Katanya, usaha tersebut sejajar dengan dasar kerajaan yang disokong Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memperkukuh keselamatan institusi pendidikan, susulan saranan Perdana Menteri agar penempatan anggota polis di sekolah diperluas di seluruh negara.

"PDRM bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menerusi lebih 9,000 sekolah yang telah menempatkan Pegawai Perhubungan Sekolah (PRP) sebagai penghubung antara polis dan pentadbiran sekolah.

"Pegawai perhubungan ini berperanan membantu memantau keselamatan, disiplin pelajar serta isu berkaitan jenayah di persekitaran sekolah," katanya.

Menurutnya, PDRM juga akan memperkukuh kerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam usaha menangani ancaman keselamatan digital dan jenayah siber melibatkan pelajar.

"Kerjasama ini penting dalam memastikan keselamatan bukan sahaja di persekitaran sekolah tetapi turut merangkumi aspek keselamatan dalam talian.

Artikel Berkaitan:

"Peningkatan rondaan di sekolah bukan sekadar memastikan keselamatan fizikal, malah dapat membina keyakinan masyarakat terhadap kehadiran polis sebagai rakan strategik dalam komuniti pendidikan," katanya.

Ringkasan AI

  • Ketua Polis Negara mengarahkan ketua polis negeri mempertingkat rondaan di kawasan sekolah untuk keselamatan pelajar dan warga pendidik
  • Langkah ini melibatkan rondaan berkala oleh pelbagai unit untuk mengenal pasti ancaman atau aktiviti merosakkan keselamatan sekolah
  • Inisiatif ini selaras dengan dasar kerajaan untuk menguatkan keselamatan institusi pendidikan, disokong saranan Perdana Menteri
  • PDRM menjalinkan kerjasama dengan Kementerian Pendidikan dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia untuk mengatasi isu keselamatan fizikal dan digital
  • Peningkatan rondaan bertujuan memastikan keselamatan dan membina keyakinan masyarakat terhadap kehadiran polis di persekitaran pendidikan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!