Tanda tugu cetus kegusaran dibina atas tanah persendirian - Datuk Bandar Seremban

Laporan Sinar Harian pada Khamis. (Gambar kecil: Masri)
Laporan Sinar Harian pada Khamis. (Gambar kecil: Masri)
A
A
A

SEREMBAN – Majlis Bandaraya Seremban (MBS) mengesahkan tanda tugu di atas sebidang tanah berhampiran kawasan perumahan di Bandar Tasik Senangin, Lenggeng, di sini dibina di atas tanah milik persendirian.

Datuk Bandar Seremban, Datuk Masri Baharuddin berkata, pihaknya menerima aduan daripada orang awam berhubung kewujudan binaan tersebut yang turut dibangkitkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng, Datuk Mohd Asna Amin.

"Binaan haram itu dikatakan berkaitan dengan 'Freemason' telah menimbulkan ketidaktenteraman penduduk beragama Islam di kawasan tersebut.

"Sehubungan itu, MBS menerusi Jabatan Undang-Undang dan Penguatkuasaan telah hadir ke lokasi bagi menyiasat aduan tersebut dan semakan mendapati binaan telah dibuat di atas satu lot persendirian," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Menurutnya, satu notis di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 telah dikeluarkan dan penutupan kawasan telah dilakukan bagi menghalang sebarang penambahan berkaitan binaan.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya mematuhi peraturan yang telah ditetapkan dan tidak membuat sebarang binaan tanpa kebenaran daripada MBS.

"Jika terdapat sebarang aduan, pertanyaan dan cadangan, boleh kemukakan melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) melalui pautan mbseremban.spab.gov.my atau muat turun secara percuma Aplikasi Respon Rakyat," katanya.

Sebelum ini media melaporkan kewujudan tanda tugu tersebut telah mencetuskan kegusaran penduduk.

Turut difahamkan sebelum ini ada yang melihat kehadiran sebuah bas yang menurunkan ramai penumpang di situ, namun tidak dapat dipastikan tujuan mereka.

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Tanda tugu di Bandar Tasik Senangin, Lenggeng dibina di atas tanah milik persendirian
  • Datuk Bandar Seremban menerima aduan tentang binaan haram berkaitan 'Freemason' yang dikatakan menimbulkan kebimbangan penduduk Islam
  • MBS telah mengeluarkan notis di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 dan menghalang sebarang penambahan pada binaan tersebut
  • Masyarakat diingatkan untuk mematuhi peraturan dan tidak melakukan binaan tanpa kebenaran dari MBS
  • Orang ramai boleh membuat aduan atau pertanyaan melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) atau Aplikasi Respon Rakyat

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!