Pasar Borong Seri Kembangan dipendekkan waktu operasi

Pihak polis bersama MPSJ mengadakan lawatan ke Pasar Borong Selangor di Seri Kembangan hari ini.
Pihak polis bersama MPSJ mengadakan lawatan ke Pasar Borong Selangor di Seri Kembangan hari ini.
A
A
A

SUBANG JAYA - Pasar Borong Selangor di Seri Kembangan yang sebelum ini beroperasi 24 jam akan dipendekkan kepada 19 jam iaitu bermula pada 5 pagi hingga 12 tengah malam sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

ISMADI
ISMADI

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Ismadi Borhan berkata, melalui perjumpaan bersama Yang Dipertua Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dan pihak pengurusan Pasar Borong Selangor, mereka membincangkan satu kaedah untuk mengawal kemasukan pengunjung serta langkah pencegahan terhadap pengunjung dan pekerja di pasar borong itu.

"Yang Dipertua MPSJ meminta pihak pengurusan Pasar Borong Selangor menyelaras dan mencari kaedah penyelesaian bagi mengawal kemasukan pengunjung ke Pasar Borong Selangor secara baik bagi mengelak penularan wabak penyakit berjangkit Covid-19.

"Selain itu, langkah-langkah pencegahan terhadap pengunjung dan pekerja iaitu mesti melalui saringan kesihatan. Pengunjung dan pekerja perlulah menjarakkan sosial yang betul dan selamat antara satu sama lain," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata, beberapa langkah juga diambil dalam pertemuan yang diadakan di Pasar Borong Selangor, Seri Kembangan.

"Antaranya kemasukan di pintu masuk utama harus dihadkan dan dikawal selia dengan menyediakan garisan-garisan bagi menjarakkan pengunjung antara satu sama lain.

"Perjumpaan ini juga bertujuan bagi kedua-dua pihak memantau dan melihat sendiri kehadiran orang awam dan peniaga yang gagal mematuhi arahan pihak kerajaan iaitu Perintah Kawalan Pergerakan," katanya.

Artikel Berkaitan: