Desakan letak jawatan dorong saya buat lebih baik – Fadhlina

Fadhlina
Fadhlina
A
A
A

PUTRAJAYA – Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menegaskan setiap kritikan atau desakan agar beliau meletakkan jawatan tidak dianggap sebagai tekanan peribadi, sebaliknya satu panggilan untuk memperbaiki serta memperkukuh tanggungjawab sebagai pemimpin.

Fadhlina berkata, sepanjang dua tahun memegang portfolio pendidikan, beliau telah berdepan pelbagai cabaran dan persepsi, namun tetap memilih untuk kekal fokus kepada usaha menambah baik sistem pendidikan negara.

"Bila kita pilih untuk jadi ahli politik, kita kena bersedia hadap semua. Dua tahun saya di sini, apa yang saya belum hadap? Jadi saya hadap sahaja, saya teruskan sebab bukan saya tidak buat kerja.

"Saya tahu banyak kelemahan, tetapi fokus kita masih soal penambahbaikan dan buat yang terbaik," katanya pada sesi pertemuan Menteri Pendidikan bersama editor kanan media di sini, pada Khamis.

Sebelum ini Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal menerima kritikan dan desakan supaya beliau meletakkan jawatan susulan dakwaan gagal menangani isu buli selain beberapa siri insiden tragis berlaku di kawasan sekolah.

Selain itu beliau turut dilapor menerima memorandum berkaitan isu keselamatan sekolah yang disertai dengan desakan agar beliau meletakkan jawatan.

Memorandum tersebut dibawa sekumpulan peserta yang terdiri daripada pelajar, aktivis dan orang awam sebelum diserahkan kepadanya di luar pagar Parlimen pada Rabu.

Dalam pada itu beliau menegaskan, perkara tersebut tidak harus dilihat sebagai kegagalan seseorang menteri, sebaliknya isyarat untuk mempertingkat prestasi.

"Saya tidak anggap 'call to resignation' itu tanda kita gagal. Ia sebenarnya panggilan supaya kita buat lebih baik. Jadi kita kena sokong dan ambil itu secara positif," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut mendedahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menasihatinya supaya kekal sabar, sambil mengingatkan bahawa beliau sendiri pernah berdepan cabaran yang lebih besar ketika memegang portfolio Menteri Pendidikan dahulu.

Ringkasan AI

  • Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, tidak menganggap kritikan atau desakan peletakan jawatan sebagai tekanan peribadi tapi sebagai peluang untuk memperbaik
  • Fadhlina telah berdepan dengan pelbagai cabaran dan persepsi dalam dua tahun memegang portfolio pendidikan, namun tetap fokus kepada peningkatan sistem pendidikan
  • Beliau menegaskan bahawa menghadapi kritikan dan masalah adalah sebahagian daripada tanggungjawab seorang ahli politik dan meneruskan usaha untuk melakukan yang terbaik dalam bidang pendidikan
  • Fadhlina terima kritikan dan desakan peletakan jawatan susulan isu buli dan insiden tragis di sekolah
  • Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menasihatinya supaya kekal sabar dan mengingatkan beliau tentang cabaran yang pernah dihadapi dalam portfolio yang sama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!