Pelajar UM maut terjatuh: KPT serah siasatan sepenuhnya kepada PDRM

PUTRAJAYA - Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyerahkan sepenuhnya siasatan berhubung kes seorang penuntut Universiti Malaya maut selepas terjatuh daripada bangunan kolej kediaman pada 17 Oktober lepas kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, buat masa ini, kes berkenaan masih dalam siasatan PDRM dan ia di luar bidang kuasa kementerian itu.
"Kami serahkan kepada pihak polis untuk menyediakan laporan (siasatan kejadian itu). Jadi, untuk peringkat ini, biarlah kami serahkan kepada pihak polis untuk membuat laporan (atau) siasatan,” katanya selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Karya Agung Melayu (PAKAM) 2025 di sini hari ini.
Pada 17 Oktober lepas, seorang pelajar UM berusia 22 tahun maut selepas dipercayai terjatuh dari kolej kediaman dalam kejadian pada jam 3.15 petang.
Sebelum ini, UM dalam kenyataan memaklumkan mahasiswa yang terlibat dalam insiden berkenaan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
Menurut kenyataan itu, punca kejadian masih dalam siasatan dan UM kini memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa.
UM juga minta semua pihak agar menghormati privasi keluarga pelajar berkenaan serta tidak membuat sebarang spekulasi atau perkongsian maklumat yang tidak sahih berhubung insiden ítu. - Bernama
Ringkasan AI
- PUTRAJAYA - Kementerian Pendidikan Tinggi menyerahkan siasatan kes maut penuntut Universiti Malaya kepada PDRM
- Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, menyatakan kes tersebut masih dalam siasatan PDRM
- Kes melibatkan pelajar UM berusia 22 tahun yang maut setelah terjatuh dari kolej kediaman pada 17 Okt
- Pelajar tersebut meninggal dunia ketika menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya
- Universiti Malaya memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dan meminta agar privasi keluarga dihormati
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
