[VIDEO] Aktiviti melibatkan arak, judi dilarang di dewan sekolah - PM

A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebarang aktiviti melibatkan arak dan perjudian tidak boleh sama sekali diadakan di dewan sekolah kerana ia bercanggah dengan konsep dan falsafah pendidikan negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, suasana sekolah seharusnya menjadi tempat mendidik anak-anak dengan nilai moral dan disiplin, bukan lokasi untuk kegiatan yang melanggar peraturan atau mencemarkan imej institusi pendidikan.

“Suasana sekolah, walaupun selepas waktu pembelajaran terutama dewan sekolah, tidak harus digunakan untuk kegiatan yang melanggar peraturan sekolah.

“Walaupun dikatakan disewa oleh badan bebas tapi kalau ada arak, perjudian, ini bukan mendidik anak-anak. Ia melanggar konsep dan falsafah pendidikan kita sendiri.

"Jadi, saya setuju malah, Menteri Pendidikan sudah membawa perkara ini kepada saya dan menyatakan bahawa ia harus diperketatkan,” katanya semasa sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahmad Fadhli Shaari (PN–Pasir Mas) berhubung isu penganjuran ‘pesta arak’ di kawasan sebuah sekolah menengah di Ipoh, Perak pada 27 September lalu.

Tambah Anwar, tindakan menghalang sebarang aktiviti berkaitan arak dan perjudian di kawasan sekolah bukan bermaksud kerajaan mahu menafikan hak masyarakat bukan Islam, tetapi bagi mengekalkan fungsi sekolah sebagai institusi pendidikan.

“Sekolah ini tempat didikan, ilmu, moral dan nilai. Kalau kita izinkan sedikit 'cebisan' arak, perjudian ditolak di kawasan sekolah, kita minta rakan-rakan bukan Islam kita faham. Ini sekolah, termasuk sekolah-sekolah bukan Islam.

“Anak-anak bukan Islam tidak diajar dari kecil untuk minum arak atau berjudi. Jadi budaya itu mesti budaya Malaysia keseluruhannya. Di luar, itu soal dan hak mereka, tidak langsung kita hendak pertikai. Buatlah di dewan lain.

Artikel Berkaitan:

"Itu pandangan saya. Saya sudah minta Kementerian Pendidikan melihat peraturan-peraturan ini," katanya.

Ringkasan AI

  • Aktiviti melibatkan arak dan perjudian dilarang di dewan sekolah
  • Perdana Menteri memandang serius penggunaan suasana sekolah untuk kegiatan yang melanggar nilai moral
  • Walaupun disewa oleh badan bebas, kegiatan bercanggahan dengan falsafah pendidikan tidak dibenarkan
  • Tindakan tersebut bukan menafikan hak masyarakat bukan Islam, tetapi untuk menjaga fungsi sekolah sebagai institusi pendidikan
  • Perdana Menteri meminta Kementerian Pendidikan memperketatkan peraturan berkaitan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!