[VIDEO] Isu kapal Petronas dikepung nelayan Indonesia diselesai secara baik - PM

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Malaysia dan Indonesia terus mengekalkan hubungan baik meskipun berlaku insiden melibatkan kapal tinjau milik Petronas yang dikepung dan dihalau oleh lebih 100 bot nelayan negara jiran itu, baru-baru ini.
Menurutnya, kerajaan Malaysia memandang serius perkara tersebut, namun ia tidak sampai ke tahap perlu dibawa kepada perhatian Presiden Indonesia, Prabowo Subianto memandangkan kedua-dua negara mempunyai saluran komunikasi mesra bagi menyelesaikan isu berbangkit.
Menurutnya, Petronas juga menjalankan aktiviti cari gali hanya di kawasan perairan milik Malaysia dan tidak pernah menceroboh sempadan mana-mana negara lain.
“Saya ambil perhatian apa yang disebut oleh Ahli Parlimen Kubang Kerian (Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man) tentang gangguan kepada Petronas, tetapi tidak sampai ke satu tahap di mana kita harus berhubung dengan Presiden Prabowo.
“Umumnya, hubungan kita dengan Indonesia baik dan soal sempadan ini kita leraikan sebagai sahabat. Petronas tentunya hanya cari gali di kawasan yang memang tetap milik kita dan tidak menceroboh kawasan lain,” katanya ketika menjawab soalan Tuan Ibrahim (PN-Kubang Kerian) di Dewan Rakyat pada Khamis.
Beliau sebelum itu membangkitkan persoalan berhubung keselamatan sempadan negara yang menurutnya masih berdepan cabaran termasuk isu pencerobohan dan tuntutan wilayah seperti di kawasan Ambalat.
Pada 17 Oktober lalu, suasana tegang dilaporkan tercetus di perairan Ketapang, Sampang, Madura apabila ratusan nelayan tempatan mengepung kapal tinjauan milik syarikat minyak dan gas Malaysia, Petronas.
Tindakan itu dibuat sebagai membantah aktiviti tinjauan di kawasan Sumur Barokah yang didakwa mengganggu laluan penangkapan ikan tradisional.
Tuan Ibrahim turut mencadangkan agar kerajaan menubuhkan satu Suruhanjaya Tetap Persempadanan Negara ASEAN bagi menyelaras isu sempadan yang sering melibatkan negara jiran, sekali gus mengelakkan ketegangan di rantau ini.
Anwar kemudiannya memaklumkan bahawa kedua-dua cadangan itu sebagai pandangan yang baik dan wajar diberi perhatian, namun menjelaskan kerajaan pada masa ini masih menumpukan kepada mekanisme sedia ada menerusi rundingan dua hala dengan negara jiran.
“Ada kes-kes pencerobohan nelayan sama ada di Malaysia ke Indonesia, Indonesia ke Malaysia itu kita cuba leraikan dengan baik. Perundingan dah dicapai tapi ada beberapa yang masih belum dimuktamadkan termasuk Ambalat sebagaimana yang disebut oleh Kubang Kerian sebentar tadi.
“Apakah ada keperluan sistem pertahanan? Memang umumnya kita setuju sebab kita ini centrality. Kita tidak mahu kuasa besar menangguk di air keruh dan kemudian melanggar kedaulatan kita.
“Cuma belum sampai ke situ. Kerjasama dengan beberapa negara seperti kita dengan Singapura, Indonesia dan Thailand itu memang agak meningkat tetapi tentunya agak terlalu awal untuk mencapai kesepakatan daripada kerjasama sempadan ala NATO (model pertahanan bersama) yang juga menjadi isu kontroversi sekarang. Tetapi dua cadangan ini saya percaya Kementerian Luar akan ambil perhatian,” katanya.
Ringkasan AI
- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan hubungan Malaysia-Indonesia kekal baik walaupun insiden kapal tinjau Petronas dikepung nelayan Indonesia
- Kerajaan Malaysia memandang serius insiden tersebut namun tidak membawanya kepada perhatian Presiden Indonesia, kerana percaya isu dapat diselesaikan melalui saluran komunikasi mesra
- Petronas menjalankan aktiviti cari gali hanya di perairan milik Malaysia dan tidak menceroboh sempadan negara lain
- Anwar menyatakan hubungan kedua negara baik dan menyelesaikan isu sempadan sebagai sahabat tanpa perlu campur tangan Presiden Prabowo
- Anwar mendukung cadangan pembentukan Suruhanjaya Tetap Persempadanan Negara ASEAN tapi menekankan kerajaan masih fokus pada mekanisme sedia ada melalui rundingan dua hala
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


