SPRM tahan seorang lagi wanita kes penyelewengan wang zakat RM120,000

KUALA LUMPUR – Seorang lagi individu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur pada Selasa susulan kes penyelewengan wang zakat berjumlah kira-kira RM120,000 membabitkan 28 pemohon tidak layak.
Menurut sumber, wanita berusia lingkungan 50-an itu ditahan kira-kira jam 4 petang di Pejabat SPRM Kuala Lumpur ketika hadir memberi keterangan berhubung kes berkenaan.
"Siasatan awal mendapati suspek yang merupakan kakitangan sebuah badan berkanun, disyaki bersubahat dengan seorang lagi wanita yang telah ditahan SPRM pada Ahad lalu.
"Suspek dipercayai bersekongkol bagi memudahkan proses permohonan Insentif Modal Perniagaan yang dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP),” katanya pada Rabu.
Sumber itu turut memaklumkan bahawa suspek pertama yang ditahan sebelum ini telah dibebaskan dengan jaminan SPRM selepas tempoh remannya tamat hari ini.
Sementara itu, Pengarah SPRM Kuala Lumpur, Mohamad Zakkuan Talib ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009,” katanya.
Sebelum ini, SPRM Kuala Lumpur dilaporkan menahan seorang bekas pekerja sebuah badan berkanun kerana disyaki terbabit dalam sindiket penyelewengan peruntukan wang zakat terbabit.
Wanita berusia lingkungan 30-an itu, ditahan ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Kuala Lumpur, sebelum Mahkamah Majistret membenarkan perintah reman selama empat hari hingga Rabu bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.
Ringkasan AI
- Seorang lagi individu ditahan oleh SPRM Kuala Lumpur susulan kes penyelewengan wang zakat RM120,000
- Wanita tersebut, berusia lingkungan 50-an, ditahan ketika hadir di Pejabat SPRM untuk memberi keterangan
- Suspek didakwa bersubahat dengan seorang wanita lain yang juga telah ditahan oleh SPRM
- Kedua-duanya disyaki memudahkan proses permohonan Insentif Modal Perniagaan MAIWP
- Kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

