Kastam Kelantan rampas beg berisi bunga ganja RM1.4 Juta

Beg pakaian yang diperiksa mengandungi dadah disyaki bunga ganja
Beg pakaian yang diperiksa mengandungi dadah disyaki bunga ganja
A
A
A

KOTA BHARU – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan merampas 14.398 kilogram (kg) dadah disyaki bunga ganja yang dianggarkan bernilai lebih RM1.4 juta di Pintu 1, Zon Bebas, Rantau Panjang pada 27 Mei lalu.

Pengarah Kastam Negeri Kelantan, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai penemuan sebuah beg pakaian di Pintu 1, Zon Bebas, Rantau Panjang dan hasil pemeriksaan mendapati terdapat 10 paket plastik lut sinar disyaki mengandungi bunga ganja.

Menurut beliau, rentetan daripada penemuan itu, Kastam turut memeriksa sebuah lagi beg yang dibawa oleh seorang lelaki warga Thailand dan mendapati terdapat 15 paket plastik lut sinar disyaki mengandungi dadah yang sama.

"Modus operandi penyeludup kini ialah menyeludup melalui pangkalan haram di Sungai Golok dan keluar melalui Zon Bebas, Rantau Panjang," katanya menerusi satu kenyataan pada Isnin.

Wan Jamal Abdul Salam memaklumkan, kesemua rampasan dan suspek dibawa ke Pejabat Bahagian Penguatkuasaan, Rantau Panjang untuk siasatan lanjut.

Jelas beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan.

Sekiranya tidak dijatuhkan hukuman mati, pesalah juga boleh dikenakan hukuman sebat tidak kurang daripada 12 sebatan.

Orang ramai digesa membantu JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya melibatkan rokok, minuman keras, mercun, dadah dan kenderaan.

Artikel Berkaitan:

Sebarang maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan boleh disalurkan menerusi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau menghubungi Pejabat Kastam terdekat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!