Bas ekspres terbakar kemalangan dengan lori

KLUANG - Enam penumpang dan seorang pemandu cedera selepas bas ekspres yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori di Kilometer 78.7 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) di sini pada Selasa.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Hitam, Pegawai Bomba Kanan II Mohd Nazrul Yusri Mohd Yusof berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada jam 9.10 malam.
Menurutnya, sebaik menerima panggilan itu, dua jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan dua unit Bantuan Perkhidmatan Penyelamatan dan Perawatan Kecemasan (EMRS) serta 14 anggota bomba dikejarkan ke lokasi kejadian sejauh 23 kilometer (km).
“Setibanya di lokasi, didapati kebakaran melibatkan sebuah bas ekspres jenis Hino dengan sebuah lori jenis Isuzu lima tan.
“Terdapat tujuh mangsa lelaki termasuk pemandu bas berusia antara 23 hingga 48 tahun yang cedera ringan dalam kejadian tersebut.
“Kesemua mangsa telah keluar sendiri sebelum pihak bomba tiba, sementara pemandu lori berusia 35 tahun dilaporkan tidak mengalami kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Video kejadian tersebut tular di media sosial yang memaparkan asap tebal menjulang dari kebakaran bas ekspres berkenaan.
Tambah Mohd Nazrul Yusri, anggota BBP Ayer Hitam dan BBP Kluang berjaya mengawal kebakaran pada jam 12.03 tengah malam.
“Operasi ditamatkan pada jam 12.14 tengah malam,” katanya.
Ringkasan AI
- Enam penumpang dan seorang pemandu cedera dalam kemalangan bas ekspres dengan lori di Lebuhraya Utara-Selatan
- BBP Ayer Hitam menerima panggilan kecemasan jam 9.10 malam
- Pasukan bomba dan EMRS dengan 14 anggota dihantar ke lokasi
- Kebakaran melibatkan bas ekspres dan lori lima tan, semua mangsa cedera ringan
- Kebakaran berjaya dikawal dan operasi ditamatkan tengah malam
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

