Empat cedera kemalangan dua lori, dua Myvi

KLANG - Empat individu dilaporkan cedera dalam insiden kemalangan membabitkan empat kenderaan di Jalan Meru Tambahan, Kampung Bukit Cerakah di sini pada Selasa.
Kemalangan itu melibatkan sebuah lori tanah, lori sampah dan dua kereta jenis Perodua Myvi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapar dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 9.07 pagi.
Katanya, tiga lelaki warga asing dan seorang wanita tempatan berusia 34 tahun cedera dalam kejadian itu.
“Semua mangsa telah dikeluarkan dari kenderaan sebelum ketibaan bomba.
“Mereka kemudian diserahkan kepada pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menerima rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Tambahnya, operasi menyelamat berjaya dikawal sepenuhnya kira-kira jam 9.45 pagi.
Terdahulu, satu rakaman video tular memaparkan sebuah lori tanah dipercayai gagal dikawal lalu merempuh tiga kenderaan lain di persimpangan lampu isyarat di lokasi terbabit.
Ringkasan AI
- Empat individu cedera dalam kemalangan empat kenderaan di Jalan Meru Tambahan, Kampung Bukit Cerakah
- Kemalangan itu melibatkan sebuah lori tanah, lori sampah dan dua kereta Perodua Myvi
- Anggota Balai Bomba dan Penyelamat Kapar dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan
- Tiga lelaki warga asing dan seorang wanita tempatan berusia 34 tahun cedera
- Operasi menyelamat berjaya dikawal sepenuhnya dalam masa kira-kira 38 minit
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
