'Tak sangka suspek adik sendiri' - Kakak ipar remaja dilibas pisau

Suspek (kiri) yang merupakan penganggur direman selama tujuh hari bermula Selasa.
Suspek (kiri) yang merupakan penganggur direman selama tujuh hari bermula Selasa.
A
A
A

MELAKA – Kakak kepada lelaki yang disyaki melibas seorang remaja perempuan menggunakan pisau di Solok Tangga Batu, Tanjung Kling di sini pada petang Isnin tidak menyangka adiknya dikaitkan dengan kejadian berkenaan.

Wanita dikenali sebagai Yati, 35, berkata, keluarganya terkejut apabila dimaklumkan suspek adalah adik kandungnya sendiri.

Menurutnya, mangsa dalam kejadian itu sebenarnya merupakan adik iparnya sendiri yang menetap berhampiran rumah keluarga mereka sejak tiga bulan lalu selepas bekerja di sebuah kilang sarung tangan di kawasan tersebut.

“Mangsa memang tinggal berhampiran rumah mak kami di Tangga Batu, tapi saya duduk di Sungai Udang sebab itu bila dapat tahu, saya benar-benar tergamam.

“Adik saya sebelum ini tidak menunjukkan sebarang perubahan pelik dan tidak pernah cerita tentang tekanan atau masalah dengan sesiapa.

"Dia jenis biasa-biasa saja,” katanya ketika dihubungi di sini pada Selasa.

Yati berkata, keluarganya menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan lanjut serta memohon orang ramai agar tidak membuat spekulasi yang boleh menjejaskan emosi kedua-dua pihak keluarga.

“Kami pun tak tahu apa sebenarnya yang berlaku. Mangsa pun keluarga kami,” ujarnya.

Terdahulu media melaporkan suspek yang merupakan penganggur direman selama tujuh hari bermula Selasa.

Artikel Berkaitan:

Dalam kejadian kira-kira jam 4.45 petang itu, mangsa berusia 18 tahun yang bekerja sebagai operator kilang membonceng motosikal ditunggang kakak iparnya berusia 21 tahun dalam perjalanan pulang ke rumah di Batu 9 Tangga Batu.

Mangsa tiba-tiba terasa sakit di bahagian belakang badan sebelum terkejut mendapati pinggangnya berlumuran darah.

Dia kemudian dikejarkan ke Hospital Melaka untuk rawatan dan dilaporkan mengalami luka sepanjang tujuh sentimeter dan tiga sentimeter lebar di bahagian belakang pinggang.

Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Ringkasan AI

  • Kakak kepada suspek terkejut adiknya dikaitkan dengan kejadian melibas remaja perempuan dengan pisau
  • Keluarga tidak menyangka kerana adik lelaki mereka sebelum ini tidak menunjukkan tanda-tanda masalah
  • Mangsa, yang bekerja sebagai operator kilang, tinggal berhampiran keluarga suspek
  • Keluarga meminta agar tidak dibuat spekulasi dan menyerahkan siasatan kepada pihak polis
  • Mangsa yang berusia 18 tahun mengalami luka serius dan dirawat di Hospital Melaka

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!