'Tangkap Netanyahu jika jejak kaki ke Kanada'

OTTAWA – Perdana Menteri Kanada, Mark Carney dengan nada tegas mengumumkan bahawa negaranya akan menahan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu sekiranya pemimpin itu menjejakkan kaki ke bumi Kanada.
Dalam wawancara bersama audio siar Bloomberg pada Jumaat, Carney ditanya sama ada beliau akan melaksanakan waran tangkap yang dikeluarkan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) terhadap Netanyahu.
Jawapannya hanya sepatah iaitu 'ya', namun cukup menggegarkan diplomasi dunia.
Kenyataan ringkas tetapi padat itu menunjukkan pendirian Kanada yang tidak lagi bersembunyi di sebalik kata-kata berhati-hati.
Carney menegaskan bahawa negaranya menghormati undang-undang antarabangsa dan prinsip akauntabiliti global.
Beliau turut mengesahkan bahawa pengiktirafan rasmi terhadap Negara Palestin kini menjadi keutamaan dasar luar kerajaannya.
Langkah itu sekali gus menandakan perubahan berani dalam dasar luar Kanada, yang sebelum ini dilihat berhati-hati dalam mengkritik Israel. Ia juga menjadikan Carney antara pemimpin Barat pertama berani mencabar tekanan Washington, yang menentang keras pengiktirafan unilateral terhadap Palestin.
Dalam reaksi Israel. Penasihat politik Netanyahu, Ophir Falk, dalam kenyataan kepada The Globe and Mail, menuduh Carney “mengkhianati sekutu tradisional dan tunduk kepada keganasan.”
“Kanada sepatutnya menyambut Netanyahu sebagai pemimpin demokrasi tunggal di Asia Barat, bukan mengugut untuk menangkapnya,” katanya sinis.
Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant, kini berdepan dakwaan jenayah perang serta jenayah terhadap kemanusiaan di ICC.-Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
