Hilang kepercayaan boleh jejas peranan zakat

Laporan Sinar Harian sebelum ini mengenai isu dana zakat. (Gambar kecil: Mohamad Zaidin)
Laporan Sinar Harian sebelum ini mengenai isu dana zakat. (Gambar kecil: Mohamad Zaidin)
A
A
A

SHAH ALAM – Kesedaran masyarakat mengenai pengurusan dana zakat amat penting bagi memastikan amanah umat Islam sentiasa terpelihara.

Pengarah Institut Penyelidikan Produk dan Ketamadunan Melayu Islam (INSPIRE), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Profesor Madya Dr Mohamad Zaidin Mat @ Mohamad berkata, zakat merupakan tanggungjawab besar umat Islam yang mesti diurus dengan penuh integriti dan berpaksikan prinsip syariah.

"Setiap sen dana zakat perlu sampai kepada asnaf yang berhak.

“Umat Islam perlu peka dan memastikan sumbangan mereka disalurkan melalui saluran rasmi yang telus. Ini bukan sahaja menjaga amanah, tetapi juga menegakkan keadilan sosial,” katanya.

Mohamad Zaidin menekankan, penglibatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam penyiasatan salah guna kuasa dana zakat menunjukkan proses siasatan dijalankan secara bebas dan telus.

“Apabila institusi agama bekerjasama dengan SPRM, ia mengelakkan persepsi negatif bahawa salah laku dilindungi secara dalaman,” jelas beliau.

Media sebelum ini melaporkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, tiada sebarang usaha 'cover up' untuk melindungi mana-mana individu terlibat dalam dakwaan penyelewengan dana zakat dan tindakan tegas akan diambil mengikut peraturan serta undang-undang sedia ada.

Beliau berkata, kerajaan tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk salah laku, rasuah atau penyalahgunaan kuasa, terutama melibatkan dana yang diamanahkan untuk kebajikan umat Islam.

Dalam pada itu, Mohamad Zaidin menambah, ketelusan ini bukan sahaja menambah keyakinan masyarakat, malah memastikan umat Islam terus percaya kepada institusi agama dalam pengurusan zakat.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, penyiasatan bersama bukan bertujuan menghukum tetapi lebih kepada memperkukuh sistem tadbir urus dan kawalan dalaman pengurusan zakat.

“Dengan sistem yang lebih baik, kelemahan dapat dikenal pasti dan diperbaiki supaya dana zakat benar-benar sampai kepada golongan yang memerlukan,” ujarnya.

Beliau turut mengingatkan bahawa jika masyarakat hilang kepercayaan terhadap institusi agama, sumbangan zakat dan derma melalui saluran rasmi mungkin merosot, seterusnya menjejaskan kebajikan asnaf.

“Kepercayaan umat Islam adalah asas utama apabila reputasi institusi agama tercemar, masyarakat akan hilang hormat dan sokongan moral terhadap urusan agama turut lemah,” katanya.

Mohamad Zaidin menegaskan bahawa kegagalan mengekalkan keyakinan masyarakat boleh menggagalkan matlamat zakat sebagai alat pembinaan ummah dan keadilan sosial.

“Zakat bertujuan mencapai maqasid syariah, membantu golongan miskin dan menegakkan kesejahteraan sosial. Tanpa keyakinan masyarakat, peranan ini akan terjejas,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!