MPS kenakan amaran terhadap 75 premis

MPS membuat pemantauan ke atas premis perniagaan di seluruh kawasan Selayang hari ini.
MPS membuat pemantauan ke atas premis perniagaan di seluruh kawasan Selayang hari ini.
A
A
A

SELAYANG - Sebanyak 75 premis diberi amaran dalam operasi dijalankan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) sempena tempoh Perintah Kawalan Pergerakan, hari ini.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Shamsul Shahril Badliza berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak 43 diberikan amaran bertulis, manakala 32 lagi secara lisan.

Menurutnya, operasi tersebut melibatkan pemantauan ke atas premis perniagaan di seluruh kawasan Selayang melibatkan 55 anggota dari Jabatan Penguatkuasa dan Keselamatan, Jabatan Pelesenan dan Jabatan Sisa Pepejal dan Kesihatan MPS.

"Operasi mendapati pengunjung memenuhi premis tanpa mengamalkan jarak selamat satu meter seperti yang diarahkan oleh kerajaan.

"Tindakan diambil selaras dengan kuasa yang diberikan kepada MPS di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342)," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Operasi dijalankan penguat kuasa MPS hari ini.
Operasi dijalankan penguat kuasa MPS hari ini.

Beliau berkata, pihaknya juga mendapati beberapa kedai serbaneka dan pasar raya tidak mengawal pengunjung yang memasuki premis mereka.

Dalam satu operasi berasingan, Shamsul Shahril berkata, pemeriksaan telah dijalankan di kawasan Pasar Borong Selayang melibatkan 44 orang anggota dari MPS, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Agensi Pertahanan Awam Malaysia (APM), Pejabat Tanah dan Daerah Gombak dan Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak.

Artikel Berkaitan:

"Tindakan sitaan telah dikenakan ke atas peniaga yang meninggalkan barang perniagaan di kawasan berkenaan sehingga menimbulkan situasi persekitaran tidak menyenangkan, melibatkan lapan inventori pelbagai barangan mengikut Seksyen 46(1)a Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974," katanya.