Tiada arahan saman tak pakai topeng muka, naik kenderaan lebih seorang

Kamarulzaman
Kamarulzaman
A
A
A

KUANTAN - Polis Pahang menafikan rakaman audio walkie talkie 'polis' berhubung arahan saman mandatori bagi kesalahan menaiki kenderaan lebih daripada seorang dan tidak memakai topeng muka semasa memandu sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasa Trafik Pahang, Superintendan Kamarulzaman Jusoh@Mohamad Daud berkata, tiada sebarang arahan berhubung perkara itu diterima setakat ini.

Menurutnya, penyebaran maklumat tidak benar itu boleh mengelirukan masyarakat dan ia perlu dihentikan segera.

"Apa yang diperkatakan bahawa saman mandatori RM300 bagi kesalahan menaiki kenderaan lebih daripada seorang dan RM200 bagi kesalahan tidak memakai penutup muka semasa memandu sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan tidak benar.

"Pihak polis juga tidak pernah mengeluarkan kenyataan seperti itu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Terdahulu, rakaman audio berdurasi 3 minit 55 saat yang disebarkan melalui aplikasi WhatsApp mengandungi rakaman percakapan seorang 'anggota polis' melalui alat walkie talkie bagi memaklumkan berhubung arahan itu kepada anggota yang bertugas di lapangan.

Melalui rakaman audio itu, anggota terbabit mengarahkan anggota di lapangan mengambil maklum berhubung arahan yang dikeluarkan dan tindakan saman terhadap pengguna jalan raya yang melakukan kesalahan tersebut.

Kamarulzaman berkata, pihak polis meminta orang ramai mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan yang dilaksanakan sehingga 31 Mac ini bagi membendung penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Artikel Berkaitan: