Kecualikan bayaran sewa premis di Putrajaya - Tengku Adnan

Tengku Adnan. Foto Sumber Internet
Tengku Adnan. Foto Sumber Internet
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Wilayah Persekutuan disaran mengecualikan bayaran sewa premis perniagaan di bawah pentadbiran Perbadanan Putrajaya bagi meringankan beban peniaga kecil, penjaja dan pengendali trak makanan.

Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, ia berikutan golongan itu kehilangan pendapatan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan sejak Rabu lalu.

Beliau turut menggesa kerajaan memberi bantuan wang tunai kepada golongan miskin bandar di Putrajaya terutama penjawat awam dalam kategori berpendapatan rendah (B40), golongan asnaf dan mereka yang bergaji harian.

"Saya menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Wilayah Persekutuan,Tan Sri Annuar Musa untuk membantu rakyat yang terjejas akibat wabak koronavirus (Covid-19).

"Selaku Ahli Parlimen Putrajaya, saya berharap Menteri Wilayah Persekutuan dapat meringankan beban peniaga kecil, pengendali 'food truck' dan penjaja di kawasan Putrajaya dengan mengecualikan mereka daripada membayar sewa premis selama beberapa bulan.

"Harapan saya juga golongan miskin bandar di Putrajaya dapat diberikan bantuan wang tunai berikutan menghadapi kesukaran sepanjang tempoh PKP," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu, Muhyiddin mengumumkan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dibenar mengeluarkan wang simpanan di Akaun 2 melalui pengeluaran i-Lestari bagi menampung keperluan keluarga berikutan wabak Covid-19 melanda negara.

Menurutnya, ahli KWSP yang berumur bawah 55 tahun boleh membuat pengeluaran masing-masing tertakluk kepada kadar maksimum RM500 sebulan untuk tempoh selama 12 bulan dan permohonan boleh dibuat bermula 1 April depan.

Artikel Berkaitan: