Turkiye hantar 25 trak bantuan ke Gaza melalui sempadan Rafah

AL-ARISH (Mesir) – Sebanyak 25 trak yang membawa bantuan kemanusiaan daripada misi ke-17 “Ship of Kindness” Turkiye berlepas pada Sabtu menuju ke pintu sempadan Rafah bagi menghantar bekalan bantuan ke Gaza, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Penghantaran diselaraskan oleh Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana dan Kecemasan Turkiye (AFAD) dengan sokongan 17 pertubuhan bukan kerajaan (NGO), dan berlepas dari Pelabuhan Mersin, Turkiye pada 14 Oktober lalu membawa kira-kira 900 tan bantuan.
Operasi pemunggahan diteruskan di Pelabuhan al-Arish, Mesir dengan lebih separuh daripada kargo termasuk susu formula bayi, makanan siap dimakan dan makanan dalam tin telah dipindahkan ke trak.
Pegawai AFAD memantau pelepasan konvoi dari pelabuhan, dan trak-trak berkenaan dijangka tiba di pintu sempadan Rafah dalam tempoh kira-kira 45 minit.
AFAD memaklumkan bahawa usaha sedang dijalankan untuk menghantar baki bantuan tersebut ke Gaza secepat mungkin. - Bernama
Ringkasan AI
- Sebanyak 25 trak bantuan kemanusiaan dari Turkiye menuju ke pintu sempadan Rafah untuk Gaza
- Bantuan tersebut diselaraskan oleh AFAD dengan sokongan 17 NGO, berlepas dari Mersin
- Mengangkut kira-kira 900 tan bantuan termasuk susu formula bayi dan makanan siap
- Operasi pemunggahan di Pelabuhan al-Arish, lebih separuh kargo sudah dipindahkan ke trak
- AFAD memantau pelepasan konvoi, trak dijangka tiba di Rafah dalam 45 minit
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
