Rasuah jadi jalan terpantas musnahkan negara jika tidak dibendung

Rasuah mampu melumpuhkan ekonomi, membunuh keadilan dan menggugat kedaulatan jika tidak dibanteras secara tegas

Rasuah ancaman utama negara, bukan sekadar isu moral dan perlu dilawan tanpa kompromi demi masa depan negara. - Gambar hiasan
Rasuah ancaman utama negara, bukan sekadar isu moral dan perlu dilawan tanpa kompromi demi masa depan negara. - Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM – Rasuah bukan sekadar jenayah moral tetapi merupakan ancaman utama yang mampu meruntuhkan ekonomi, keadilan dan kedaulatan negara jika tidak dibanteras secara tegas.

Pengerusi Persatuan Gerak Wanita Islam Malaysia (Gerakwanis), Bibi Sunita Sakandar Khan menegaskan bahawa rasuah ialah musuh utama negara yang boleh membawa kepada keruntuhan total dan menjadi jalan terpantas menuju status negara gagal.

“Tiada pelabur serius yang akan datang jika mereka perlu membayar rasuah pada setiap pintu. Ekonomi akan dikuasai oleh kroni yang tidak cekap, menyebabkan produk tempatan tidak berkualiti dan tidak mampu bersaing di peringkat global.

"Amalan rasuah boleh menyebabkan ekonomi negara lumpuh, inflasi melonjak dan nilai ringgit menjunam sehingga akhirnya membawa negara ke ambang muflis," katanya kepada Sinar Harian.

Tambahnya lagi, bahaya rasuah bukan sekadar terhadap ekonomi semata-mata, malah sistem keadilan juga akan mati apabila undang-undang boleh dibeli oleh pihak berkepentingan.

"Apabila hakim, peguam dan polis boleh dibeli, undang-undang tidak lagi bermakna. Yang kaya dan berkuasa akan bebas, manakala rakyat biasa akan ditindas. Bila keadilan mati, rakyat akan mengambil tindakan sendiri, hukum rimba akan berkuasa,” katanya.

Bibi Sunita turut memberi amaran bahawa kedaulatan negara boleh tergadai apabila pemimpin yang rasuah mudah diperkotak-katikkan oleh kuasa asing.

"Projek strategik dan rahsia negara boleh dijual demi keuntungan peribadi. Ini adalah satu bentuk penjajahan baharu yang halus tetapi sama bahayanya,” jelasnya.

Beliau berkata, jika budaya rasuah dibiarkan berakar umbi, maruah negara akan jatuh di mata dunia sehingga rakyat sendiri menjadi mangsa penghinaan antarabangsa.

Artikel Berkaitan:

"Kita akan digelar sebagai negara kleptokrasi. Pasport rakyat kita akan dipandang hina, dan maruah bangsa akan hilang sama sekali,” tegasnya.

Katanya, setiap rakyat perlu memahami bahawa menolak rasuah bukan hanya tanggungjawab kerajaan atau agensi penguat kuasa, tetapi perjuangan bersama untuk menyelamatkan masa depan negara.

“Rasuah bukan musuh nombor dua. Ia adalah musuh utama negara yang mesti dilawan tanpa kompromi,” ujarnya.

Ringkasan AI

  • Rasuah adalah ancaman utama yang boleh meruntuhkan ekonomi, keadilan, dan kedaulatan negara
  • Rasuah menyebabkan pelabur enggan datang, ekonomi dikuasai kroni dan produk tempatan tidak berkualiti
  • Praktik rasuah boleh mematikan sistem keadilan dimana undang-undang boleh dibeli dan yang kaya bebas manakala rakyat biasa ditindas
  • Kedaulatan negara terancam apabila pemimpin yang korup mudah dipengaruhi kuasa asing, menjual rahsia demi keuntungan peribadi
  • Menolak rasuah adalah tanggungjawab bersama untuk menyelamatkan masa depan negara, rasuah adalah musuh utama yang mesti dilawan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!