Covid-19: Masjid gerak inisiatif bantu penduduk


Mohamad Nor (dua dari kanan) bersama petugas bertungkus-lumus menyediakan sumbangan kepada mereka yang memerlukan di sekitar masjid tersebut.
Mohamad Nor (dua dari kanan) bersama petugas bertungkus-lumus menyediakan sumbangan kepada mereka yang memerlukan di sekitar masjid tersebut.
A
A
A

IPOH - Beberapa masjid di Perak menjalankan inisiatif membantu masyarakat setempat yang berdepan kesukaran kesan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam usaha mengekang penularan koronavirus (Covid-19).

Masjid Jamek Kampung Dato Ahmad Said 3, di sini antara masjid yang melancarkan program bantuan khas kepada ahli kariahnya yang berdepan masalah dan terjejas akibat perintah kawalan tersebut.

Pengerusinya, Mohamad Nor Abdul Rahman berkata, inisiatif tersebut diusahakan bersama-sama Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) berkenaan dengan menggunakan peruntukan masjid berjumlah RM10,000.

Menurutnya, seramai 200 penduduk kampung terdiri daripada mereka yang kehilangan sumber pendapatan, bekerja sendiri, warga emas dan sebagainya menerima sumbangan tersebut.

"Setiap orang daripada mereka menerima barangan keperluan seperti beras, telur, tepung, gula, minyak masak dan sebagainya bernilai RM50. Jawatankuasa masjid bersama-sama MPKK menggerakkan usaha ini bagi membantu mereka yang berada di dalam kesusahan.

"Duit tabung hasil sumbangan orang ramai ini kita gunakan untuk keperluan masyarakat setempat sekali gus memperluaskan peranan dan fungsi masjid itu sendiri, bukan sahaja sebagai tempat ibadat semata-mata," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Masjid Jamek Kampung Dato Ahmad Said 3, di sini hari ini.

Beliau berkata, pengagihan sumbangan tersebut bermula hari ini dengan wakil setiap keluarga yang layak datang ke masjid untuk mengambil barang tersebut mengikut peraturan ditetapkan dengan bantuan pihak polis.

Menurutnya, pihak masjid akan melihat keperluan dari semasa ke semasa untuk menambah bilangan penerima berdasarkan peruntukan atau dana sedia ada.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, bagi seorang penerima, Zaihasra Abu Bakar, 40, berkata, sumbangan tersebut amat melegakan dia dan keluarga yang kehilangan sumber pendapatan kerana terpaksa bercuti sementara ekoran Perintah Kawalan Pergerakan ini.

Dia yang bekerja di sebuah kilang berkata, inisiatif yang dilakukan oleh Masjid Jamek Kampung Dato Ahmad Said 3 itu perlu dicontohi oleh masjid-masjid lain, di samping pihak lain juga dialu-alukan membantu golongan yang kehilangan sumber pendapatan akibat penularan Covid-19.

Bagi Abu Talib Othman, 60, pula, usaha dilakukan masjid tersebut harus diberi pujian sekali gus membuang persepsi negatif pihak tertentu terhadap institusi masjid.

Katanya, program kebajikan seperti itu perlu diteruskan untuk memastikan kebajikan umat Islam dijaga sebaik mungkin, sekali gus memberi imej baik kepada institusi Islam terutama masjid.

Dalam pada itu, Masjid Nurul Huda, Manong, Kuala Kangsar turut menjalankan inisiatif dengan melancarkan Program Kit Sumbangan RM30 bagi membantu meringankan beban ahli kariah yang memerlukan.

Dalam satu hantaran di Facebook, pihak masjid tersebut menjelaskan program tersebut sudah dimulakan pada 22 Mac lalu dengan mengalu-alukan sumbangan orang ramai terus ke akaun masjid.

Sumbangan yang diberikan itu bagi menyediakan keperluan harian seperti beras, gula, minyak masak, sardin, tepung dan sebagainya.

Pemberian sumbangan itu bertujuan memastikan tiada ahli kariah terputus bekalan makanan berikutan arahan kawalan pergerakan berkenaan.