Carey Heritage Run 2025 ketengahkan landskap hijau Pulau Carey

INISIATIF komuniti terkini SD Guthrie berinspirasikan alam semula jadi, Carey Heritage Run 2025 berlangsung meriah baru-baru ini dengan menghimpunkan lebih 1,100 pelari terdiri daripada orang awam dan warga kerja SD Guthrie Berhad (Guthrie) dalam kehijauan landskap Pulau Carey di Banting, Selangor.
Berlatarbelakangkan sinaran matahari pagi, bayu sungai dan kehijauan alam, peserta menyemarakkan semangat komuniti, kesejahteraan dan kelestarian alam di salah satu lokasi paling berharga milik Guthrie.
Dalam kenyataannya, SD Guthrie berkata, acara tersebut menampilkan tiga kategori pertandingan larian iaitu 21KM, 10KM dan 5KM yang bermula seawal jam 6.30 pagi.
“Carey Heritage Run merupakan inisiatif ekopelancongan terbaharu Guthrie, salah satu pengeluar minyak sawit disahkan mampan terbesar dunia.
“Ia merupakan sebahagian daripada inisiatif besar untuk meraikan Pulau Carey sebagai permata berharga syarikat tersebut yang menampilkan gabungan kekayaan ekologi, warisan budaya dan inovasi dalam perladangan lestari,” jelas kenyataan itu.
Acara larian ini juga akan disusuli dengan satu lagi acara iaitu Carey Heritage Ride pada 26 Oktober bersempena Bulan Sukan Negara yang disambut setiap tahun.

Dalam pada itu, ahli kepimpinan tinggi wanita Guthrie turut mencipta detik membanggakan apabila Ahli Lembaga Pengarah, Jenifer Thien dan Ketua Pegawai Sumber Manusia, Shahrizan Aini Shamsul Khalil masing-masing meraih tempat kedua dan ketiga dalam kategori 10KM Veteran Wanita.
Pencapaian yang membanggakan tersebut mencerminkan slogan matlamat 'Care to Nourish, Dare to Flourish' yang dihayati oleh setiap warga kerja Guthrie.
Menurut kenyataan, acara larian ini turut menyusuli kejayaan Carey Heritage Bird Photography Competition yang berlangsung pada hujung minggu sebelumnya.
Para pencinta alam berjaya merakam aksi 65 spesies menerusi foto yang mengagumkan sekali gus membuktikan kekayaan biodiversiti Pulau Carey dan reputasinya yang semakin dikenali sebagai destinasi ekopelancongan dan pemuliharaan.
Lebih menarik lagi, 34 daripada spesies burung tersebut belum pernah dikenal pasti sebelum ini sebagai sebahagian daripada populasi burung di Pulau Carey.
Ringkasan AI
- INISIATIF komuniti terkini SD Guthrie berinspirasikan alam semula jadi, Carey Heritage Run 2025 berlangsung meriah dengan menghimpunkan lebih 1,100 pelari di Pulau Carey, Banting, Selangor
- Carey Heritage Run merupakan inisiatif ekopelancongan terbaharu Guthrie, bertujuan meraikan gabungan kekayaan ekologi, warisan budaya dan inovasi dalam perladangan lestari
- Terdapat tiga kategori pertandingan larian iaitu 21KM, 10KM dan 5KM yang bermula seawal jam 6.30 pagi
- Ahli kepimpinan tinggi wanita Guthrie, Jenifer Thien dan Shahrizan Aini Shamsul Khalil, meraih tempat kedua dan ketiga dalam kategori 10KM Veteran Wanita
- Acara larian ini diikuti oleh kejayaan Carey Heritage Bird Photography Competition yang merakam aksi 65 spesies burung, dengan 34 spesies belum pernah dikenal pasti sebelum ini di Pulau Carey
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

