Durian Kampung Gajah tarik minat pelancong negara jiran

Nordin (tengah) menunjukkan durian daerah Perak Tengah yang akan dihidangkan sempena Festival Durian Antarabangsa Kampung Gajah 2025.
Nordin (tengah) menunjukkan durian daerah Perak Tengah yang akan dihidangkan sempena Festival Durian Antarabangsa Kampung Gajah 2025.
A
A
A

IPOH – Festival Durian Antarabangsa Kampung Gajah 2025 yang berlangsung mulai hari ini dijangka menjadi tumpuan pelancong tempatan dan antarabangsa termasuk dari Thailand.

Pengerusi Persatuan Pembangunan Komuniti Perak Tengah, Nordin Abdul Malek berkata, penganjuran festival tersebut bertujuan mengembalikan kegemilangan durian Kampung Gajah yang pernah menjadi ikon buah tempatan serta memperkenalkannya semula sebagai produk premium berpotensi besar di pasaran antarabangsa.

Menurutnya, festival yang dianjurkan oleh Persatuan Pembangunan Komuniti Perak Tengah dengan kerjasama Institut Agro dan Keusahawanan (IGROW) dijangka mampu menarik kehadiran kira-kira 10,000 pengunjung meneroka sekitar Kampung Gajah dan Pasir Salak dalam tempoh lebih 40 hari sehingga 30 November depan.

"Sepanjang festival ini, pelbagai aktiviti menarik menanti pengunjung termasuk pakej makan durian, jelajah kebun durian menggunakan basikal, jalan kaki santai di kebun serta pakej edu-pelancongan khas untuk pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi.

"Kita juga akan menerima kunjungan khas delegasi daripada Gabenor Thailand dan Pusat Pentadbiran Wilayah Sempadan Selatan Thailand (SBPAC) sebagai simbol jalinan kerjasama serantau,” katanya kepada pemberita di Rumah Media Perak di sini pada Khamis.

Nordin berkata, pelbagai kursus turut disediakan untuk peserta antaranya kursus durian Malaysia–Thailand, ternakan ikan di kolam simen, asas kendalian dron pertanian dan pembuatan tembikar bunga tampal.

Menurutnya, festival itu turut menampilkan aktiviti sampingan seperti demonstrasi memasak, pembuatan kraftangan serta pameran produk tempatan.

Beliau menegaskan, festival itu bukan sahaja menjadi platform memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan Thailand malah membuka peluang keusahawanan kepada penduduk setempat.

"Inisiatif ini merupakan langkah strategik untuk melonjakkan kembali nama Kampung Gajah sebagai pengeluar durian terbaik negara selain menjana ekonomi komuniti, memupuk semangat perpaduan serta mengangkat martabat produk tempatan ke peringkat global.

Artikel Berkaitan:

"Dengan sokongan semua pihak, saya yakin festival ini mampu menjadi acara berprestij yang memberi impak besar kepada masyarakat dan ekonomi negeri,” katanya.

 

Ringkasan AI

  • Festival Durian Antarabangsa Kampung Gajah 2025 akan berlangsung mulai 17 Oktober hingga 30 November
  • Penganjuran festival ini bertujuan mengembalikan kegemilangan durian Kampung Gajah sebagai produk premium
  • Dijangka menarik 10,000 pengunjung termasuk delegasi dari Thailand untuk meneroka Kampung Gajah dan Pasir Salak
  • Pelbagai aktiviti seperti jelajah kebun durian, kursus durian Malaysia–Thailand, dan pembuatan kraftangan disediakan
  • Inisiatif ini membuka peluang keusahawanan kepada penduduk setempat dan memperkukuh hubungan Malaysia-Thailand

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!