X

Kindly register in order to view this article
!

Air Selangor tubuh pasukan khas kongsi perkembangan Covid-19

A
A

KUALA LUMPUR - Satu pasukan khas telah dibentuk oleh Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) bertujuan berkongsi maklumat terkini koronavirus (Covid-19) dari semasa ke semasa bagi mencegah penularan baharu wabak Covid-19.

Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Air Selangor, Suhaimi Kamaralzaman dalam kenyataannya hari ini berkata, pasukan khas di bawah Seksyen Kesihatan, Keselamatan dan Alam Sekitar (HSE) Air Selangor ini merupakan satu daripada inisiatif untuk membendung wabak Covid-19, selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan oleh kerajaan.

“Bilik Gerakan Covid-19 Air Selangor juga telah diaktifkan untuk sebarang pertanyaan berkenaan Covid-19. Waktu operasi adalah dari Isnin hingga Jumaat, bermula jam 8.30 pagi hingga 5.30 petang.

“Pasukan khas Seksyen HSE ini juga telah menjalankan proses pembasmian kuman di premis Air Selangor dalam usaha membendung warga kerja kami daripada ancaman wabak Covid-19,” katanya.

Suhaimi berkata, inisiatif lain termasuk penutupan sementara semua Kaunter Khidmat Pelanggan Air Selangor di seluruh negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya bermula 19 Mac hingga 31 Mac ini serta pemberhentian sementara perkhidmatan pembacaan meter dan permohonan baharu bekalan air oleh pihak pemaju, bermula pada tarikh yang sama.

"Ini bagi mengurangkan risiko pendedahan terhadap warga kerjanya yang berada di lapangan. Dalam tempoh perintah ini, para pelanggan akan menerima bil anggaran," katanya.

Katanya, sebagai langkah pelaksanaan pelan kesinambungan perniagaan yang menyeluruh, Air Selangor melaksanakan polisi bekerja di rumah.

“Sehingga Isnin (23 Mac) hanya 42 peratus daripada warga kerja Air Selangor yang bekerja sama ada di pejabat atau di tapak kerja, dan penjarakan sosial adalah diwajibkan untuk mengurangkan kontak rapat antara individu.

"Para pelanggan turut dinasihatkan agar tidak panik dalam keadaan genting ini kerana Air Selangor akan memastikan bekalan air bersih tanpa gangguan untuk membantu pelanggan mengamalkan pengurusan kebersihan diri yang optimum,” katanya. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!