Seorang maut, 4 cedera lori bawa muatan PVC terbabas

SLIM RIVER – Seorang lelaki maut akibat tercampak dari lori yang dinaiki selepas kenderaan itu terbabas di Kilometer (KM) 373.9 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan, di sini malam tadi.
Mangsa, A Selvam 46, disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Hospital Slim River di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Muallim, Superintenden Mohd Hasni Mohd Nasir berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 8.10 malam ketika lori jenis rigid kargo dalam perjalanan dari Ipoh menuju ke Kuala Lumpur.
Menurutnya, siasatan awal mendapati lori berkenaan hilang kawalan sebelum melanggar besi pembahagi jalan dan terbabas di lorong tengah lebuh raya.
“Akibat pelanggaran itu, muatan lori berupa paip PVC terpelanting ke laluan bertentangan dan terkena dua penunggang motosikal yang melalui jalan tersebut dari arah Behrang ke Trolak.
“Insiden itu turut menyebabkan penumpang hadapan kiri lori tercampak keluar dari kenderaan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Mohd Hasni berkata, pemandu lori dan seorang lagi penumpang cedera ringan manakala dua penunggang motosikal masing-masing berusia 37 dan 20 tahun mengalami patah bahu serta cedera di bahagian kaki dan tangan.
“Kesemua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Slim River untuk menerima rawatan lanjut.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Mohd Hasni berkata, punca kemalangan dipercayai akibat lori terbabit hilang kawalan sebelum terbabas sendiri.
Ringkasan AI
- Seorang lelaki maut akibat tercampak dari lori selepas kenderaan itu terbabas di KM 373.9 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan
- Mangsa, A Selvam berusia 46 tahun, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian
- Lori jenis rigid kargo hilang kawalan, melanggar besi pembahagi jalan dan terbabas di lorong tengah lebuh raya
- Muatan lori berupa paip PVC terpelanting dan terkena dua penunggang motosikal
- Pemandu lori dan seorang lagi penumpang cedera ringan, manakala dua penunggang motosikal mengalami patah bahu serta cedera di bahagian kaki dan tangan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

