Kesihatan mental fokus utama program komuniti Mesra Mall

KEMAMAN – Kempen Kesedaran Kesihatan Mental 2025 anjuran Mesra Mall berjaya menarik perhatian lebih 1,000 peserta menerusi pelbagai program berimpak tinggi yang berlangsung selama lima hari, bermula 8 hingga 12 Oktober lalu.
Kempen yang menggabungkan elemen sukan, kesihatan dan pendidikan itu diteruskan bagi memperkukuh legasi tanggungjawab sosial korporat (CSR) Kumpulan Suria KLCC yang sebelum ini menjadi perintis advokasi kesihatan mental melalui kempen ‘We Are With You’ pada 2021.
Ketua Pegawai Eksekutif Suria KLCC Sdn Bhd, Francis Tan berkata, pihaknya berbangga apabila kempen yang bermula sebagai inisiatif kecil kini berkembang menjadi program komuniti berimpak besar di Pantai Timur.
“Perjalanan advokasi kesihatan mental ini bermula pada tahun 2021 dengan matlamat menjadikan pusat beli-belah sebagai ruang selamat untuk perbualan penting. Kejayaan di Mesra Mall membuktikan komitmen kami terhadap kesejahteraan masyarakat,” katanya.

Kempen tahun ini bertemakan ‘Access to Services: Mental Health in Catastrophes and Emergencies’ dan dilaksanakan dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah Kemaman, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Daerah Kemaman serta Hospital Kemaman.
Ketua Jabatan Psikiatri Hospital Kemaman, Dr Amran Japar berkata, penganjuran itu berjaya merapatkan jurang antara perkhidmatan kesihatan dan masyarakat.
“Pemeriksaan kesihatan percuma serta sesi konsultasi mental yang diadakan mendapat sambutan amat menggalakkan. Ia membuktikan masyarakat semakin terbuka membincangkan isu kesihatan mental,” katanya.
Kemuncak acara berlangsung pada 11 Oktober menerusi Mesra Run dan Hari Sukan Negara yang menghimpunkan hampir 1,000 peserta dalam larian sejauh lima kilometer (km).
Majlis perasmian disempurnakan oleh Francis Tan bersama Pengurus Besar Mesra Mall, Aziam Muhammad.
Peserta turut menerima kit larian eksklusif dan berpeluang memenangi lebih 50 hadiah cabutan bertuah termasuk basikal MTB dan televisyen pintar.
Selain itu, pertandingan antara sekolah MesraActive yang diadakan dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah Kemaman turut mencuri tumpuan apabila pelajar di sekitar Kemasik dan Kerteh menyertai acara futsal, badminton dan boling yang menekankan semangat berpasukan.
Sementara itu, Pameran Kesihatan Komuniti yang berlangsung di Lobi Sukan Mesra Mall menyediakan pemeriksaan percuma, bengkel pengurusan stres dan kesedaran minda hasil kerjasama Hospital Kemaman.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
