Jawatan KP Imigresen tidak perlu rujukan menteri

Datuk Jamil Rakon
Datuk Jamil Rakon
A
A
A

PUTRAJAYA - Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengakui tidak merujuk kepada menteri berhubung lantikan Datuk Jamil Rakon bagi menggantikan kekosongan jawatan yang ditinggalkan oleh mantan Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali.

Ketua Pengarah JPA, Datuk Borhan Dolah berkata, ia berikutan jawatan itu tidak tersenarai dalam jawatan Ketua Pengarah Perkhidmatan Utama yang memerlukan rujukan menteri.

"Kita memang tidak merujuk kepada menteri kerana jawatan Ketua Pengarah Imigresen tidak tersenarai dalam Ketua Pengarah Perkhidmatan Utama," katanya.

[ARTIKEL BERKAITAN: Lantikan kroni: KP Imigresen enggan ulas lanjut]

[ARTIKEL BERKAITAN: Lantikan Jamil tanpa pengetahuan menteri]

Menurutnya, antara jawatan perkhidmatan yang memerlukan rujukan menteri adalah

Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya, Ketua Pengarah Kesihatan, Ketua Pengarah Pendidikan, Ketua Audit Negara, Akauntan Negara, tentera dan polis.

"Jadi, lain-lain jawatan ketua pengarah adalah terletak pada bidang kuasa Lembaga Kenaikan Pangkat," katanya kepada Sinar Harian.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, lembaga itu dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara akan mengeluarkan nama calon terbaik untuk mengisi kekosongan jawatan.

"Di Imigresen ini, kita hantar seseorang yang mempunyai integriti tinggi, berani menyatakan yang benar selain mempunyai mengalaman luas.

"Pada kami Jamil adalah calon yang layak dan berpengalaman," katanya.

Bagaimanapun katanya, kedudukan Jamil tersepit selepas Menteri Dalam Negeri (KDN), Tan Sri Muhyiddin Yassin membuat rayuan untuk mengembalikan Ketua Setiausaha JKR, Datuk Seri Alwi ke KDN dan Datuk Khairul Dzaimee Daud menggantikan Mustafar di dalam satu surat kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Rayuan itu diluluskan dan kita menghormati keputusan itu," katanya.

Terdahulu, Jamil hanya sempat memegang jawatan itu selama empat hari selepas Mustafar menyerahkan Nota Serah Tugas kepadanya, Khamis lalu.

Semalam KDN dalam kenyataannya mengumumkan Khairul Dzaimee dilantik menjawat jawatan itu berkuat kuasa hari ini.

Berikutan itu timbul spekulasi bahawa lantikan Khairul Dzaimee sebagai lantikan kroni.

Muhyiddin dalam sidang medianya berkata, lantikan Jamil diluar pengetahuannya.