Pelan Damai Gaza: Malaysia sokong usaha hentikan pembunuhan, kemusnahan - PM

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia memutuskan untuk menyokong pelan damai yang dikemukakan Amerika Syarikat kerana sebarang usaha ke arah pendamaian amat penting bagi menghentikan pembunuhan dan kemusnahan di Gaza.
Bagaimanapun, beliau menegaskan sokongan Malaysia adalah bersyarat, dengan menuntut agar pelan berkenaan mengiktiraf kedudukan Palestin sebagai sebuah negara berdaulat, menyelesaikan semua isu termasuk di Tebing Barat, serta mengembalikan hak rakyat Palestin yang terusir dari Gaza.
"Dalam mendukung inisiatif Presiden Donald Trump, pendirian ini selaras dengan beberapa negara Islam lain yang berpandangan bahawa usaha damai perlu dimeterai segera memandangkan pembunuhan rakyat, termasuk wanita dan kanak-kanak, masih berterusan. Keadaan ini wajib dihentikan segera,” katanya.
"Kedua, keadaan di Gaza terlalu tenat, hampir kebuluran. Maka atas pertimbangan kemanusiaan, kita menyatakan bahawa apa juga inisiatif yang diambil, termasuk oleh Presiden Donald Trump, wajar disokong,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Selasa.
Beliau menjawab soalan Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) yang ingin mengetahui pendirian kerajaan terhadap pelan damai dikemukakan Presiden Amerika Syarikat berhubung konflik Palestin-Israel, serta sejauh mana ia selaras dengan prinsip dan usaha Malaysia dalam memperjuangkan hak rakyat Palestin dan kedaulatan negara itu. - Bernama
Ringkasan AI
- Malaysia menyokong pelan damai Amerika Syarikat untuk menghentikan konflik di Gaza
- Sokongan Malaysia bersyarat, menuntut pengiktirafan Palestin sebagai negara berdaulat dan penyelesaian isu di Tebing Barat
- Pendirian Malaysia selaras dengan pandangan negara Islam lain yang mahu usaha damai dilakukan segera
- Keadaan di Gaza sangat kritikal, menyebabkan Malaysia menyokong apa juga inisiatif damai atas pertimbangan kemanusiaan
- Anwar Ibrahim menyatakan pendirian Malaysia di Dewan Rakyat, menjawab soalan tentang sokongan terhadap pelan damai Amerika Syarikat
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
