Mayat lelaki ditemui dalam pangsapuri selepas 15 tahun meninggal dunia

MADRID - Mayat seorang lelaki yang dipercayai meninggal dunia selama kira-kira 15 tahun ditemukan di sebuah pangsapuri di Bandar Valencia, Sepanyol, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Penemuan mengerikan itu berlaku di kawasan kejiranan La Fuensanta apabila anggota bomba dan polis memasuki unit tingkat enam bangunan pangsapuri melalui tingkap, bagi menyiasat banjir akibat hujan lebat, menurut laporan stesen TV RTVE dan Antena 3 pada Isnin.
Siasatan awal pihak berkuasa mendapati lelaki itu dikenali sebagai Antonio, dipercayai meninggal dunia pada 2010, pada usia 70 atau 71 tahun.
Mayat yang mengalami pemumiaan itu ditemui berpakaian lengkap di bilik tidur, dikelilingi burung merpati, bangkai merpati, serangga dan longgokan sampah. Pintu pangsapuri itu dikunci dari dalam dan tiada tanda jenayah dikesan.
Polis Kebangsaan Sepanyol percaya kematian berlaku secara semula jadi, namun bedah siasat akan dilakukan bagi mendapatkan maklumat lanjut.
Jiran amat terkejut apabila menyedari mereka hidup serumah pangsapuri dengan mayat selama 15 tahun. Mereka yang mengenalinya menggambarkan Antonio sebagai seorang yang menyendiri dan tidak bersosial.
Dia tinggal berasingan daripada keluarganya dan jarang berinteraksi dengan masyarakat setempat.
"Kami sangka dia sudah tinggal di rumah jagaan orang tua, sebab memang tak pernah nampak dia,” kata seorang jiran kepada Antena 3.
"Kami tak kenal dia pun di sini. Kami semua masih terkejut,” kata seorang lagi kepada akhbar El País.
Akhbar itu turut melaporkan yang kematiannya tidak disedari kerana bil bulanan terus dibayar seperti biasa dan jiran-jiran turut mengosongkan peti suratnya yang sentiasa penuh. - Bernama
Ringkasan AI
- Mayat seorang lelaki yang dipercayai meninggal selama kira-kira 15 tahun ditemukan di pangsapuri di Valencia, Sepanyol
- Lelaki itu dikenali sebagai Antonio, dipercayai meninggal pada 2010 pada usia 70 atau 71 tahun
- Mayat Antonio mengalami pemumiaan dan ditemui berpakaian lengkap di bilik tidur dikelilingi oleh burung merpati mati, serangga dan sampah
- Pintu pangsapuri dikunci dari dalam dan tiada tanda jenayah, polis percaya kematian berlaku secara semula jadi
- Jiran-jiran terkejut menyedari mereka hidup berdekatan dengan mayat selama 15 tahun, Antonio digambarkan sebagai seorang yang menyendiri
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
