Menunggang melulu, tumbuk anggota polis ketika ditahan

KLANG – Seorang lelaki bertindak menumbuk anggota polis ketika ditahan selepas dipercayai menunggang motosikal secara melulu sebelum melanggar sebuah kereta di Jalan Mempelam, Taman Gembira di sini pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Ramli Kasa berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 6.30 pagi ketika, seorang lelaki berusia 55 tahun sedang memandu kereta jenis Toyota Rush dilanggar motosikal ditunggang suspek.
"Selepas pelanggaran, berlaku pertengkaran mulut antara kedua-dua individu terlibat dan suspek bertindak agresif dengan membaling tin arak ke arah pengadu namun tidak kena.
"Pengadu kemudian menghubungi polis untuk meminta bantuan, namun sebaik menyedari kehadiran kereta peronda, suspek cuba melarikan diri menggunakan motosikal dan hampir melanggar pengadu," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Katanya, ketika anggota polis cuba menahan suspek, berlaku pergelutan sebelum suspek kemudian bertindak menumbuk muka salah seorang anggota.
"Suspek berusia 28 tahun itu kemudian berjaya diberkas serta motosikalnya dirampas untuk tindakan lanjut.
"Semakan mendapati suspek turut memiliki rekod lampau berkaitan dadah," katanya.
Menurutnya, suspek direman selama tiga hari untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 279 dan Seksyen 353 Kanun Keseksaan.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan di talian 03-33762222 bagi membantu siasatan," katanya.
Ringkasan AI
- Seorang lelaki menumbuk anggota polis ketika ditahan selepas menunggang motosikal secara melulu dan melanggar kereta di Jalan Mempelam, Taman Gembira
- Kejadian berlaku kira-kira jam 6.30 pagi dan melibatkan kereta jenis Toyota Rush
- Suspek bertindak agresif dengan membaling tin arak ke arah pengadu tapi tidak kena
- Suspek cuba melarikan diri bila polis tiba tapi akhirnya berjaya diberkas
- Suspek memiliki rekod lampau berkaitan dadah dan ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 279 dan Seksyen 353 Kanun Keseksaan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

