Tidak puas hati pasport lambat siap, lelaki ditahan ugut pegawai kedutaan

AMPANG - Seorang lelaki warga Tajikistan ditahan polis selepas bertindak mengugut dan mengganggu pegawai kedutaannya di sini gara-gara tidak berpuas hati dengan kelewatan proses permohonan pasport baharu.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, lelaki berusia 27 tahun itu mula menunjukkan sikap agresif sejak awal tahun ini apabila pasport baharunya tidak diproses seperti dijangka.
“Suspek datang ke pejabat Kedutaan Tajikistan untuk menuntut pasport baharu namun enggan mematuhi prosedur ditetapkan sebelum menjerit dan cuba memasuki premis tanpa kebenaran.
“Suspek turut dikesan berkeliaran pada waktu malam di kawasan kedutaan serta membuat panggilan telefon menggunakan kata-kata kesat dan ugutan lisan terhadap pegawai bertugas,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Beliau berkata, suspek turut menghantar mesej mengancam akan membunuh diri di hadapan kedutaan sekiranya permintaannya tidak dipenuhi, selain memuat naik video berunsur tohmahan terhadap pihak berkuasa Tajikistan di media sosial.
“Hasil risikan dan maklumat diterima, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya menahan lelaki itu di kawasan Ampang pada jam 11.20 pagi, 8 Oktober lalu.
“Polis turut merampas sebuah telefon bimbit bagi membantu siasatan. Semakan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan ujian saringan air kencingnya juga negatif dadah,” jelasnya.
Menurut Mohd Azam, suspek kini direman bagi membantu siasatan lanjut.
“Siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada rasa tidak puas hati suspek terhadap kelewatan proses permohonan pasport baharu oleh pihak kedutaan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 507C Kanun Keseksaan,” katanya.
Ringkasan AI
- Lelaki warga Tajikistan ditahan polis kerana mengugut pegawai kedutaannya di Ampang gara-gara tidak puas hati dengan kelewatan proses pasport baharu
- Lelaki berusia 27 tahun itu menunjukkan sikap agresif sejak awal tahun ini
- Dia cuba memasuki premis kedutaan tanpa kebenaran dan menghantar mesej mengancam akan membunuh diri
- Suspek ditahan oleh polis di kawasan Ampang dan telefon bimbitnya dirampas untuk siasatan
- Kes disiasat di bawah Seksyen 507C Kanun Keseksaan kerana ugutan membunuh
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

