5,000 peserta gamatkan Kasih Fun Run 2025

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Aktiviti hujung minggu diserikan lagi dengan penganjuran Kasih Fun Run 2025 Kuala Lumpur 'Awak Ok Tak?' anjuran Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Yayasan Kebajikan Negara (YKN) serta Sinar Plus selaku rakan media rasmi.
Acara larian itu menarik penglibatan 5,000 peserta, bertujuan memberikan kesedaran tentang kepentingan menjaga kesejahteraan mental, mewujudkan masyarakat yang saling peduli antara satu sama lain, membantu orang ramai mendapatkan khidmat sokongan emosi dan mempromosikan lagi talian Kasih 15999.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, program sebegini diadakan bukan sekadar memberi kecergasan pada tubuh badan, tetapi juga memupuk kasih sayang dan sifat kemanusiaan dalam diri.
Menurut beliau, pihaknya sedar bahawa kesejahteraan emosi sama pentingnya dengan kesihatan fizikal.
"Sama seperti kita berlari dan berjalan beramai-ramai pagi ini (Ahad) demi menjaga kesihatan badan, minda serta jiwa.
"Alhamdulillah kita semua berjaya menamatkan larian dengan selamat bagi bersama-sama meraikan semangat kepedulian dalam komuniti.
"Larian ini tidak mementingkan kecergasan tubuh badan semata-mata, tetapi juga kasih sayang dan sifat kemanusiaan sesama kita," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Kasih Fun Run 2025 'Awak Ok Tak?' bertempat di Dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), di sini pada Ahad.
Hadir sama, Timbalan Menteri KPWKM, Datuk Dr Noraini Ahmad bersama Ketua Setiausahanya, Datuk Dr Maziah Che Yusoff dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Shariff.
Selain itu, turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif YKN, Nordina Haron; Pengarah Kesihatan Negeri Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur dan Putrajaya, Datin Dr Haliza Abdul Manaf serta Ketua Pegawai Eksekutif Sinar Karangkraf Sdn Bhd, Farah Hussamuddin.
Nancy yang juga ahli Parlimen Santubong memaklumkan, lebih dari 50,000 panggilan ke talian Kasih 15999 yang dibuka 24 jam diterima pihaknya setakat September lalu.
Tambah beliau, majoriti pemanggil datang daripada individu yang memerlukan bantuan kebajikan, khidmat psikososial dan kaunseling bahkan tempat untuk meluahkan perasaan.
"Kebanyakan mereka mahukan tempat untuk meluah dan bersandar. Kempen 'Awak Ok Tak?' ini seruan untuk masyarakat belajar bertanya, mendengar dan ada untuk satu sama lain.
"Soalannya memang nampak kecil, tetapi besar maknanya buat seseorang. Siapa tahu dengan soalan 'Awak Ok Tak?' boleh menjadi langkah pertama untuk mereka berasa disayangi dan mendapat bantuan sewajarnya.

"Kami di KPWKM bersama rakan strategik akan meneruskan usaha ini melalui pengedaran dan pemasangan poster, pelekat serta aktiviti komuniti di seluruh negara supaya mesej 'Awak Ok Tak?' terus hidup," ujar Nancy lagi.
Kasih Fun Run 2025 'Awak Ok Tak?' dengan tema pakaian merah jambu diadakan sempena Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia pada 10 Oktober lalu.

Acara dimulakan dengan penyertaan seawal 6 pagi dan sesi pelepasan sejauh lima kilometer (KM) pada 7 pagi, seterusnya pelancaran 'flash mob' kempen 'Awak Ok Tak?'.
Bukan itu sahaja, turut berlangsung gimik pemotongan belon dan tayangan video kempen serta cabutan bertuah barangan elektronik kepada peserta.
Nancy ditemani dif-dif kenamaan sempat melawat reruai Sinar Plus, YKN, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) serta banyak lagi.
Ringkasan AI
- Kasih Fun Run 2025 Kuala Lumpur 'Awak Ok Tak?' diadakan oleh KPWKM melalui YKN dengan Sinar Plus sebagai rakan media
- Acara ini menarik 1,150 peserta untuk meningkatkan kesedaran tentang kesejahteraan mental
- Datuk Seri Nancy Shukri menekankan larian bukan sahaja untuk kecergasan fizikal tetapi juga memupuk kasih sayang dan kemanusiaan
- Lebih dari 50,000 panggilan ke talian Kasih 15999 telah diterima untuk bantuan kebajikan dan sokongan emosi
- Kempen 'Awak Ok Tak?' bertujuan untuk mendorong masyarakat belajar bertanya dan mendengar, mempromosikan peduli sesama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

