BUDI95: JPJ lanjut waktu operasi kaunter hujung minggu

PUTRAJAYA – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan melanjutkan waktu operasi kaunter pada hujung minggu di seluruh negara bermula 27 September hingga 26 Oktober bagi memudahkan orang ramai memperbaharui lesen memandu.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, langkah itu selaras dengan pelaksanaan program Budi Madani RON95 (BUDI95) yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Kaunter lesen memandu dan kaunter pelbagai akan dibuka setiap Sabtu dan Ahad mulai jam 8.30 pagi hingga 4.30 petang di semua pejabat JPJ negeri dan cawangan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Aedy Fadly berkata, penambahan waktu operasi itu memberi lebih fleksibiliti kepada orang ramai khususnya mereka yang mempunyai kekangan masa pada hari bekerja untuk memperbaharui lesen memandu.
"JPJ merekodkan seramai 2.3 juta pemegang Lesen Memandu Kompeten (CDL) dalam status tidak aktif iaitu tamat tempoh melebihi tiga tahun, manakala 15.2 juta lagi merupakan pemegang lesen CDL aktif," katanya.
Tambahnya, JPJ mengingatkan pemegang lesen yang telah tamat tempoh melebihi tiga tahun diwajibkan menduduki semula ujian Kurikulum Pendidikan Pemandu Bahagian 2 dan 3 di institut memandu untuk mengaktifkan semula lesen mereka.
"Bagi lesen yang tamat tempoh kurang tiga tahun, pembaharuan boleh dilakukan segera melalui aplikasi MyJPJ, portal mySikap atau kiosk tanpa perlu hadir ke kaunter.
"Inisiatif ini diharap dapat membantu orang ramai memanfaatkan kemudahan yang disediakan kerajaan serta meningkatkan pematuhan undang-undang jalan raya melalui penguatkuasaan lesen memandu yang sah," ujarnya.
Ringkasan AI
- JPJ akan melanjutkan waktu operasi kaunter pada hujung minggu selama sebulan untuk memudahkan pembaharuan lesen memandu
- Langkah ini adalah sebahagian daripada program Budi Madani RON95 yang diumumkan oleh Perdana Menteri
- Kaunter akan dibuka setiap Sabtu dan Ahad dari jam 8.30 pagi hingga 4.30 petang di semua pejabat JPJ
- Terdapat 2.3 juta pemegang Lesen Memandu Kompeten dalam status tidak aktif dan 15.2 juta lagi merupakan pemegang lesen aktif
- Pembaharuan lesen yang tamat tempoh kurang daripada tiga tahun boleh dilakukan melalui aplikasi MyJPJ, portal mySikap atau kiosk tanpa perlu ke kaunter
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
