Perbaharui lesen memandu, cukai jalan secara dalam talian

Orang ramai yang ingin memperbaharui lesen memandu dan cukai jalan boleh berbuat demikian secara dalam talian menerusi portal MySikap JPJ atau MyEG. Gambar kanan: Wee Ka Siong
Orang ramai yang ingin memperbaharui lesen memandu dan cukai jalan boleh berbuat demikian secara dalam talian menerusi portal MySikap JPJ atau MyEG. Gambar kanan: Wee Ka Siong
A
A
A

PUTRAJAYA - Orang ramai yang ingin memperbaharui lesen memandu dan cukai jalan boleh berbuat demikian secara dalam talian sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

Perkhidmatan tersebut boleh dibuat menerusi portal MySikap Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) atau portal MyEG.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, orang awam yang tidak memiliki akaun untuk mengakses portal MySikap JPJ boleh melaksanakan proses pembaharuan menerusi portal MyEG.

"Orang ramai yang telah memperbaharui Lesen Memandu Kompeten (CDL) atau Lesen Kenderaan Motor (LKM) menerusi kedua-dua portal tersebut sepanjang tempoh pelaksanaan ini tidak perlu hadir ke kaunter untuk mendapatkan lesen memandu atau pelekat LKM secara fizikal.

"Sebaliknya bukti pembayaran fi CDL dan LKM menerusi portal sudah memadai sebagai bukti. Oleh yang demikian, orang ramai tidak perlu tergesa-gesa atau resah mendapatkan lesen memandu dan pelekat LKM yang telah diperbaharui.

"Kebenaran ini hanyalah untuk kegunaan di sepanjang tempoh perintah kawalan ini sahaja dan mereka boleh mendapatkan pelekat LKM dan kad CDL sebaik sahaja perintah ditarik semula," katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Menyedari kebimbangan orang ramai, Ka Siong berkata, kementerian turut mengadakan konsultasi dan perbincangan bersama pihak Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) dan Takaful baru-baru ini bagi mempermudahkan urusan orang ramai sepanjang tempoh ini.

Jelas beliau, seperti ketetapan undang-undang, semua pemilik kenderaan perlu memastikan kenderaan mereka mempunyai perlindungan insurans yang sah.

Artikel Berkaitan:

"Justeru, pembaharuan perlindungan insurans untuk kenderaan motor boleh dilaksanakan secara dalam talian menerusi portal-portal syarikat insurans yang berkaitan," katanya.

Sebarang aduan atau pertanyaan boleh e-mel ke aduan@mot.gov.my atau WhatsApp ke 019-2907723.

Orang ramai juga boleh menghubungi Hotline MOT di talian 1800-88-7723 mulai 8 pagi hingga 6 petang.

Selain itu, orang ramai boleh menghubungi Pusat Pengurusan Operasi Negara, Majlis Keselamatan Negara, di talian 03-88882010.