Lemon Law: Malaysia wajar contohi Singapura

SHAH ALAM – Kerajaan dicadangkan supaya memastikan pelaksanaan Lemon Law merangkumi tempoh jaminan perlindungan bagi pembelian kereta terpakai sekurang-kurangnya untuk tiga hingga enam bulan.
Penganalisis automotif, Daniel Fernandez berkata, langkah itu penting bagi melindungi pengguna yang membeli kenderaan terpakai daripada berdepan risiko mendapatkan kereta bermasalah atau pernah terlibat dalam kemalangan serius.
Ujarnya, pelaksanaan Lemon Law di Malaysia wajar mencontohi Singapura yang menyediakan jaminan kepada pembeli bagi tempoh tertentu selepas transaksi dibuat sekali gus meningkatkan kepercayaan pengguna terhadap pasaran kenderaan terpakai.
“Ramai pengguna takut untuk beli kereta terpakai kerana bimbang kenderaan pernah terlibat dalam kemalangan, banjir atau mempunyai masalah enjin tersembunyi.
“Jika Lemon Law diperluas kepada kategori ini, sekurang-kurangnya peniaga perlu menawarkan jaminan minimum tiga hingga enam bulan seperti di Singapura,” katanya kepada Sinar Ahad.
Pada Jumaat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi pembentangan Belanjawan 2026 memaklumkan kerajaan akan membuat pindaan Akta Perlindungan Pengguna bagi memperkenalkan Lemon Law demi menjaga hak rakyat.
Mengulas lanjut Daniel berkata, pelaksanaan Lemon Law juga penting dalam mendepani gelombang kemasukan kenderaan elektrik (EV) dan hibrid di pasaran automotif tempatan yang berisiko mengalami isu teknikal seperti sistem bateri dan perisian.
“Sekarang banyak EV dari China dan Eropah mula masuk ke pasaran Malaysia. Apabila berlaku masalah seperti kereta terbakar semasa mengecas, syarikat kadang-kala enggan bertanggungjawab kerana tiada undang-undang yang mengikat mereka.
“Dengan adanya Lemon Law, mereka perlu menggantikan atau membaiki kenderaan tanpa menekan pengguna,” ujar beliau.
Katanya, kerajaan juga perlu menjalankan kempen kesedaran bagi mendidik rakyat mengenai undang-undang Lemon Law.
“Ia perlu dilakukan secara menyeluruh termasuk rakyat di kawasan pedalaman dan luar bandar supaya mereka mempunyai kesedaran akan kewujudan Lemon Law serta hak sebagai pengguna.
“Pengguna mesti tahu mereka berhak untuk membuat aduan jika kenderaan yang dibeli tidak sempurna,” jelasnya.
Tambahnya, kerajaan juga diharap supaya menghapuskan sistem permit kelulusan (AP) bagi kenderaan tertentu.
“Sistem AP ini hanya memberi kelebihan kepada segelintir pihak yang memperoleh lesen tersebut tanpa menyumbang kepada pembangunan industri.
“Lebih baik hasil atau keuntungan daripada sistem ini digunakan untuk membangunkan negara dalam sektor lain termasuk pendidikan, pengangkutan awam dan kesihatan,” kata beliau.
Sementara itu penganalisis automotif, Shamsul Yunos berkata, kerajaan perlu meneliti mekanisme pelaksanaan Lemon Law dengan lebih mendalam agar peraturan itu mudah difahami dan dilaksanakan oleh semua pihak.
“Kerajaan perlu memikirkan bagaimana cara untuk memastikan peraturan Lemon Law itu mudah untuk diimplementasi.
“Adakah ia melibatkan pembelian barangan secara menyeluruh dari gula-gula hingga rumah ataupun hanya dilaksanakan pada produk tertentu sahaja? Itu kita kena lihat dulu,” katanya.
Menurut Shamsul yang juga Pengarang Electronikar, masih terlalu awal untuk memberi maklum balas secara terperinci kerana cadangan pelaksanaan undang-undang berkenaan masih belum diperincikan oleh kerajaan.
“Terlalu awal untuk kita beri maklum balas lebih terperinci kerana masih belum jelas lagi cadangan peraturan berkenaan.
“Harapan saya, undang-undang tersebut dapat mengurangkan penganiayaan ke atas pengguna terutama melibatkan produk yang tidak menepati standard atau rosak,” ujarnya.
Ringkasan AI
- Kerajaan dicadangkan untuk memastikan pelaksanaan Lemon Law meliputi jaminan perlindungan pembelian kereta terpakai selama tiga hingga enam bulan
- Langkah ini bertujuan melindungi pembeli kereta terpakai dari risiko mendapat kereta bermasalah atau yang telah terlibat dalam kemalangan serius
- Pelaksanaan Lemon Law perlu mencontohi Singapura yang memberi jaminan kepada pembeli untuk tempoh tertentu, meningkatkan kepercayaan terhadap pasaran kenderaan terpakai
- Pembentangan Belanjawan 2026 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan akan memperkenalkan pindaan Akta Perlindungan Pengguna untuk Lemon Law
- Pentingnya Lemon Law dalam era kenderaan elektrik dan hibrid masuk ke pasaran Malaysia bagi mengatasi isu teknikal seperti sistem bateri dan perisian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

