Rawatan awal penting elak komplikasi influenza - KKM

PUTRAJAYA - Rawatan awal penting bagi mengelakkan komplikasi serius akibat jangkitan influenza, terutamanya golongan berisiko tinggi seperti kanak-kanak, warga emas, wanita hamil serta individu yang mempunyai penyakit kronik.
Kementerian Kesihatan (KKM) menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada terhadap jangkitan tersebut, khususnya semasa musim peningkatan kes.
"Secara umumnya, influenza boleh pulih tanpa rawatan khusus. Walau bagaimanapun individu yang mengalami gejala seperti demam, batuk, sakit tekak, sakit badan atau keletihan dinasihatkan segera mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan berhampiran terutama bagi kanak-kanak dan individu berisiko tinggi," menurut kenyataan itu di sini hari ini.
KKM turut menggalakkan orang ramai mengamalkan etika batuk yang betul, menjaga kebersihan tangan dengan kerap, mengelakkan berada di tempat sesak jika bergejala serta memakai pelitup muka sekiranya mengalami gejala jangkitan saluran pernafasan sebagai langkah pencegahan dan perlindungan kepada orang lain.
Kementerian itu turut memaklumkan akan terus memantau perkembangan semasa dan mengambil tindakan sewajarnya bagi mengekang penularan jangkitan Influenza.
Mengenai kes seorang kanak-kanak lelaki berumur empat tahun dari Samarahan, Sarawak yang meninggal dunia pada 8 Oktober lepas di Hospital Umum Sarawak (HUS), KKM memaklumkan hasil siasatan awal mendapati punca kematian adalah radang otak (ensefalitis) yang boleh disebabkan oleh pelbagai jenis virus.
"Pelbagai ujian makmal telah dijalankan bagi menentukan punca kematian. Antara keputusan makmal yang didapati positif adalah Influenza A, namun punca sebenar kematian masih dalam siasatan lanjut oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak," menurut kenyataan itu.
Menurut KKM, siasatan awal mendapati pesakit mula mengalami demam panas pada 5 Oktober lepas dan telah mendapatkan rawatan di sebuah klinik swasta keesokan hari (6 Oktober).
"Dalam perjalanan pulang dari klinik, pesakit telah mengalami sawan dan dikejarkan ke hospital untuk rawatan kecemasan. Oleh kerana keadaan kes yang kritikal, beliau dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi Kanak-Kanak (PICU).
"Bagaimanapun, pesakit tidak dapat diselamatkan dan disahkan meninggal dunia pada 8 Oktober. KKM mengucapkan salam takziah kepada ahli keluarga arwah," menurut kenyataan itu. - Bernama
Ringkasan AI
- Rawatan awal penting untuk mengelakkan komplikasi serius akibat influenza, terutamanya bagi golongan berisiko tinggi
- KKM menasihatkan orang ramai berwaspada terhadap jangkitan influenza terutama semasa musim peningkatan kes
- Individu dengan gejala demam, batuk, sakit tekak, sakit badan atau keletihan disarankan mendapatkan rawatan segera
- Amalan etika batuk yang betul, menjaga kebersihan tangan, mengelakkan tempat sesak dan memakai pelitup muka disarankan sebagai langkah pencegahan
- Kematian kanak-kanak berumur empat tahun di Sarawak disiasat dengan Influenza A sebagai salah satu keputusan makmal positif
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
