Wanita warga emas melecur, gas memasak meletup

BUKIT MERTAJAM – Seorang wanita warga emas cedera selepas berlaku letupan kecil di bahagian dapur sebuah rumah di Lebuhraya Muhibbah, Taman Alma, di sini pada petang Sabtu.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, dalam kejadian kira-kira jam 4.52 petang itu, letupan dipercayai berpunca daripada kebocoran saluran hos tong gas memasak (LPG) di rumah berkenaan.
Menurutnya, bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 4.52 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Mertajam bergegas ke lokasi.
“Ketika tiba di lokasi pada jam 5.11 petang, pasukan bomba mendapati berlaku letupan kecil di bahagian dapur yang menyebabkan sebahagian kecil struktur perabot dapur mengalami kerosakan.
“Terdapat seorang mangsa perempuan berusia lingkungan 70an mengalami kecederaan melecur tahap satu dan telah dibawa ke hospital oleh orang awam sebelum ketibaan pihak bomba,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Tambahnya, operasi berjaya dikawal pada jam 5.17 petang dan tamat sepenuhnya pada jam 5.35 petang. Lokasi kejadian diserahkan kepada Pasukan Penyiasatan Kebakaran untuk tindakan lanjut.
"Seramai lima anggota termasuk seorang penyelia terlibat dalam operasi tersebut dengan bantuan pihak polis," ujarnya.
Ringkasan AI
- Wanita warga emas cedera akibat letupan kecil di dapur rumah di Lebuhraya Muhibbah, Taman Alma
- Letupan berpunca daripada kebocoran hos tong gas LPG
- Bomba menerima panggilan kecemasan dan bergegas ke lokasi
- Mangsa perempuan berusia 70an mengalami kecederaan melecur tahap satu
- Operasi kebajikan dan penyelamat berjaya dikawal dan tamat sepenuhnya dalam masa kurang dari satu jam
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

