Belanjawan 2026: Nelayan kecil terkilan tiada pertambahan bantuan

Nelayan kecil mendakwa mereka Belanjawan 2026 yang dibentangkan pada Jumaat tidak menampilkan sebarang pengumuman baharu atau bantuan khas khusus buat mereka. Foto Sinar Harian.Gambar kecil dari kiri Ambali, Kamarul Shah dan Adnan.
Nelayan kecil mendakwa mereka Belanjawan 2026 yang dibentangkan pada Jumaat tidak menampilkan sebarang pengumuman baharu atau bantuan khas khusus buat mereka. Foto Sinar Harian.Gambar kecil dari kiri Ambali, Kamarul Shah dan Adnan.
A
A
A

KUANTAN – Komuniti nelayan kecil di daerah ini terkilan apabila belanjawan 2026 yang dibentangkan pada Jumaat tidak menampilkan sebarang pertambahan bantuan sedangkan mereka semakin terhimpit dengan kos sara hidup yang meningkat.

Belanjawan MADANI 2026 mengekalkan elaun sara hidup nelayan sebanyak RM300 sebulan, di samping meneruskan subsidi diesel pada kadar RM1.65 seliter bagi kegunaan nelayan berlesen.

Kerajaan turut memperuntukkan RM20 juta bagi membantu menaik taraf vesel nelayan bagi mengurangkan kebergantungan kepada tekong dan kru asing, selain menggantikan pukat tunda Zon B serta pukat kenka dua bot bagi mengurangkan vesel tidak lestari.

Ketua Komuniti Nelayan Balok, Kamarul Shah Mohamad, 53, berkata, pengumuman bajet kali ini begitu mengecewakan kerana mereka seolah-olah tidak diberi perhatian sewajarnya.

“Kami tengok sektor pertanian dan penternakan yang disebut ada penambahbaikan, tapi untuk nelayan langsung tak disebut.

"Jadi tidak tahulah, mungkin sumber untuk nelayan ini datang daripada kementerian lain, tapi kalau tengok bantuan pun kekal sama macam sebelum ini sedangkan kita minta ditambah baik sama ada subsidi minyak atau elaun sara hidup,” katanya ketika ditemui pemberita di Jeti Balok di sini pada Sabtu.

Beliau memberitahu, komuniti nelayan berharap kerajaan memberi penjelasan tentang bentuk bantuan sebenar yang boleh meringankan beban mereka.

Kita nak tahu juga apa yang nelayan dapat daripada belanjawan yang baru ini dan berharap kerajaan beri perhatian dari segi kebajikan serta keperluan asas nelayan sebab sekarang hendak ‘survive’ pun makin susah.

"Kalau boleh, biarlah ada tambahan kecil seperti bantuan keperluan asas atau baucar tahunan untuk ahli nelayan,” katanya

Artikel Berkaitan:

Bagi, Ambali Abdul Manaf, 65, mendakwa tiada perhatian khusus diberikan kepada nelayan kecil yang bakal berdepan musim monsun timur laut tidak lama lagi.

“Bila monsun nanti kami tidak boleh turun laut, sepatutnya ada bantuan tambahan untuk tempoh itu, tapi dalam bajet kali ini langsung tak disebut,” katanya ringkas.

Sementara itu, Adnan Husin, 60, berkata, bantuan sedia ada semakin tidak relevan dengan peningkatan kos semasa.

“Elaun RM300 itu kekal, tapi harga barang naik, minyak naik, alat ganti bot pun makin mahal.

"Kita bukan minta banyak, cuma harap ada perhatian lebih supaya kami boleh terus bertahan,” katanya.

 

 

 

 

 

Ringkasan AI

  • Komuniti nelayan kecil di Kuantan kecewa dengan Belanjawan 2026 yang tidak meningkatkan bantuan mereka
  • Belanjawan MADANI 2026 mengekalkan elaun sara hidup nelayan RM300 sebulan dan subsidi diesel RM1.65 seliter
  • Kerajaan memperuntukkan RM20 juta untuk menaik taraf vesel nelayan
  • Nelayan mahukan penjelasan kerajaan tentang bantuan yang dapat meringankan beban mereka
  • Nelayan merasakan bantuan sedia ada tidak relevan dengan peningkatan kos sara hidup

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!