Belanjawan 2026: Hasil kestabilan politik Sabah di bawah GRS -Hajiji

KOTA KINABALU - Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menyifatkan Belanjawan 2026 sebagai bukti kepercayaan kerajaan Persekutuan terhadap kepimpinan negeri serta hasil daripada kestabilan politik di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Beliau berkata, keyakinan itu diterjemahkan menerusi peningkatan peruntukan besar kepada Sabah dalam belanjawan berkenaan, sekali gus mencerminkan pengiktirafan terhadap kestabilan politik dan keupayaan kerajaan negeri mentadbir dengan baik.
"Belanjawan ini bukan sekadar angka, ia adalah hasil daripada kestabilan politik Sabah di bawah GRS, dan keyakinan kerajaan Persekutuan terhadap kepimpinan negeri.
"Sabah kini benar-benar diarusperdanakan dalam pembangunan Malaysia," katanya selepas menyaksikan siaran langsung pembentangan Belanjawan 2026 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga Menteri Kewangan pada Jumaat.
Hajiji berkata, Belanjawan 2026 adalah belanjawan progresif yang cukup berhemah namun tidak mengabaikan kepentingan pelbagai lapisan masyarakat, terutama golongan kurang berkemampuan.
"Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri yang telah membentangkan belanjawan negara yang progresif.
"Belanjawan ini, yang memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi negara, telah menyediakan peruntukan untuk Sabah berjumlah RM6.9 bilion yang kita percaya akan memberi manfaat besar kepada negeri ini," katanya.
Dalam pembentangan itu, Anwar turut mengumumkan bahawa peruntukan RM6.9 bilion untuk Sabah tahun depan adalah yang tertinggi pernah diberikan oleh kerajaan Persekutuan.
Selain itu, beliau turut mencadangkan peruntukan sebanyak RM765 juta bagi pembinaan talian elektrik Southern Link yang menurut Hajiji akan memberi manfaat kepada seluruh rakyat Sabah.
Turut dimasukkan dalam belanjawan ialah kerja-kerja pembaikan infrastruktur yang rosak akibat bencana alam baru-baru ini yang menjejaskan Sabah, termasuk Institut Pendidikan Guru (IPG) Gaya, dengan kos sebanyak RM220 juta serta RM39 juta bagi Fasa 2 projek tebatan banjir.
Hajiji turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan Persekutuan atas sokongan berterusan terhadap projek Pan Borneo Sabah dengan peruntukan sebanyak RM1.67 bilion bagi tahun depan.
Ringkasan AI
- Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menyatakan Belanjawan 2026 sebagai bukti kepercayaan kerajaan Persekutuan kepada kepimpinan dan kestabilan politik Sabah
- Belanjawan 2026 mengalami peningkatan peruntukan besar kepada Sabah, mencerminkan pengiktirafan terhadap kestabilan politik dan keupayaan kerajaan negeri
- Beliau menekankan Belanjawan 2026 sebagai belanjawan progresif yang berfokus kepada pembangunan ekonomi dan tidak mengabaikan golongan kurang berkemampuan
- Perdana Menteri mengumumkan peruntukan RM6.9 bilion untuk Sabah tahun depan, yang merupakan yang tertinggi pernah diberikan oleh kerajaan Persekutuan
- Selain itu, belanjawan termasuk peruntukan RM765 juta untuk pembinaan talian elektrik Southern Link dan RM220 juta untuk pembaikan infrastruktur akibat bencana alam
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
