Maszlee sebak kenang jasa gurunya

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berucap pada Majlis Amanat Menteri Pendidikan Malaysia 2019 bertemakan ‘Pendidikan Untuk Semua’ di Dewan Besar Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia hari ini. - Foto Bernama
Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berucap pada Majlis Amanat Menteri Pendidikan Malaysia 2019 bertemakan ‘Pendidikan Untuk Semua’ di Dewan Besar Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

SERDANG – Dr Maszlee Malik hari ini mendedahkan impiannya untuk menggalas jawatan Menteri Pendidikan telah tersemai sejak 30 tahun lepas dengan menjadikan seorang guru sekolahnya sebagai sumber inspirasi.

Menyorot kisah impiannya itu di hadapan kira-kira 3,000 warga Kementerian Pendidikan yang hadir pada majlis amanatnya di sini, Maszlee dalam nada sebak berkata cita-cita yang terbit ketika berumur 15 tahun itu adalah untuk membina Malaysia yang lebih baik pada masa hadapan.

Beliau menjadikan Sakijan Muri, gurunya di Maktab Sultan Abu Bakar, Johor Bahru, yang berjaya menjadi guru dengan "kembali bersekolah” pada usia 18 tahun, sebagai inspirasi.

“Guru yang meledakkan harapan dan cita-cita saya ketika berusia 15 tahun hanya seorang pendidik biasa di sebuah sekolah, namun fenomena sebenar ialah beliau tidak pernah lulus peperiksaan.

“Beliau hanya mula bersekolah semula pada umur 18 tahun dengan mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), kemudiannya melanjutkan pengajian ke Universiti Malaya (UM) serta berjaya menjadi seorang guru," katanya, sambil memandang ke arah Sakijan yang turut hadir pada majlis itu.

Maszlee berkata Sakijan, yang dipanggilnya ustaz, merupakan seorang guru yang membawa pendekatan berbeza dalam melihat perkara seharian, hatta dalam menggalakkan murid untuk selalu bertanya termasuk membabitkan perihal agama.

“Ustaz adalah insan pertama yang mengajarkan KBAT (Kemahiran Berfikir Aras Tinggi) kepada saya, jauh sebelum istilah ini diwujudkan,” katanya diiringi tepukan gemuruh hadirin di Dewan Besar Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia (UPM) itu.

Gagal menahan sebak, Maszlee yang meneruskan ucapan dengan linangan air mata mengambil kesempatan untuk menzahirkan penghargaan kepada Sakijan atas kesedaran yang dibawa individu itu sejak usianya masih muda.

Artikel Berkaitan:

Katanya gurunya itu ‘menjentik’ pemikiran kritikal untuk menjadikan pendidikan di Malaysia sebagai proses pembinaan manusia berdaya saing dalam kehidupan tanpa membuang sifat manusiawi.

“Terima kasih untuk segalanya ustaz,” katanya ke arah Sakijan berada di barisan hadapan tetamu kehormat pada majlis itu. - Bernama