SOJC 2025: Young Tigers tekad menang lawan Pakistan

Kaliswaran (kanan) dan Azfar pada sidang media berkenaan.
Kaliswaran (kanan) dan Azfar pada sidang media berkenaan.
A
A
A

SKUAD hoki remaja negara bertekad melakar kemenangan berdepan Pakistan pada aksi Piala Sultan Johor (SOJC) 2025 di Stadium Hoki Taman Daya pada Sabtu.

Penolong Jurulatih Skuad Young Tigers, M Kaliswaran berkata, barisan pemain dilihat telah bersedia dari segi mental dan fizikal bagi mengharungi aksi yang dijangka sengit itu.

“Kami tahu Pakistan adalah pasukan yang sangat kuat dengan ramai pemain berpengalaman di peringkat antarabangsa.

"Bagaimanapun, kami tetap bersedia dengan baik dan mahu bermain untuk menang. Itu motivasi kami,” katanya dalam sidang media pra perlawanan pada Jumaat.

Tambah Kaliswaran, empat siri jelajah ke luar negara termasuk ke Australia, India dan China telah memberi pendedahan berharga kepada pemain muda negara menjelang kejohanan ini yang turut menjadi medan pemilihan ke Piala Dunia Remaja pada Disember nanti.

“Kami telah memanfaatkan semua siri jelajah itu dan pemain mendapat pengalaman bermain menentang pasukan-pasukan besar.

"Jadi dari segi persediaan, kami sudah cukup bersedia dan barisan pemain negara kini menunjukkan semangat tinggi untuk tampil cemerlang di hadapan penyokong sendiri,” ujarnya.

Sementara itu, Pengurus Skuad Pakistan, Azfar Yaqoob berkata, skuad kendaliannya dilihat berkeyakinan tinggi menjelang aksi berkenaan.

Malah dia juga yakin Pakistan mampu memberi cabaran hebat dalam SOJC 2025, biarpun baru kembali menyertai kejohanan itu selepas setahun tidak beraksi.

Artikel Berkaitan:

"Pakistan kini diperkuatkan dengan gabungan pemain senior dan junior, termasuk beberapa pemain yang baru menamatkan aksi dalam Piala Negara-Negara serta siri persahabatan menentang Jerman dan Oman.

“Pasukan kami bersedia untuk semua perlawanan. Kami mempunyai empat hingga lima pemain daripada pasukan senior yang baru beraksi dalam kejohanan antarabangsa. Ia membantu kami meningkatkan mutu permainan,” katanya.

Ringkasan AI

  • SKUAD hoki remaja negara bertekad untuk menang melawan Pakistan di Piala Sultan Johor (SOJC) 2025
  • Penolong Jurulatih Skuad Young Tigers, M Kaliswaran menyatakan pemain telah bersedia dari segi mental dan fizikal
  • Empat siri jelajah ke luar negara telah memberi pendedahan berharga kepada pemain menjelang kejohanan
  • Pengurus Skuad Pakistan, Azfar Yaqoob yakin pasukannya mampu memberi cabaran hebat dalam SOJC 2025
  • Pakistan diperkuatkan dengan gabungan pemain senior dan junior, termasuk beberapa yang berpengalaman di peringkat antarabangsa

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!