Belanjawan 2026: Harga rokok naik 2 sen sebatang

Anwar ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat pada Jumaat.
Anwar ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Kadar duti eksais ke atas rokok dinaikkan sebanyak dua sen bagi setiap batang bermula 1 November depan. 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat berkata, langkah tegas itu bagi mengurangkan prevalens perokok di negara ini. 

Menurutnya, pelarasan kadar duti itu turut melibatkan beberapa produk tembakau lain bagi menyokong pelaksanaan Agenda Nasional Malaysia Sihat.

"Kedua, cigars, cheroots dan cigarillos naik RM40 sekilogram dan ketiga produk heated tobacco naik RM20 sekilogram kandungan tembakau,” katanya pada Jumaat. 

Pada masa sama, Anwar turut mengumumkan pengecualian duti import dan cukai jualan bagi produk terapi gantian nikotin dilanjutkan sehingga 31 Disember 2027 serta diperluas kepada produk nicotine mist dan nicotine lozenges.

Langkah itu, katanya, bertujuan memberi alternatif lebih selamat kepada perokok yang berhasrat menghentikan tabiat merokok, sejajar dengan matlamat kerajaan memperkukuh kesihatan awam.

Dalam usaha menggalakkan gaya hidup sihat, kerajaan turut meningkatkan kadar duti eksais bagi produk minuman keras sebanyak 10 peratus, juga berkuat kuasa mulai 1 November 2025.

Anwar berkata, hasil tambahan daripada kenaikan cukai rokok dan minuman keras itu akan disalurkan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) untuk Inisiatif Kesihatan Paru-Paru, selain menampung kos rawatan penyakit kronik seperti diabetes dan jantung.

"Mencegah lebih baik daripada mengubati. Dicadangkan, perbelanjaan pemvaksinan yang layak mendapat pelepasan cukai pendapatan individu turut diperluas meliputi semua jenis vaksin yang didaftar dan diluluskan oleh KKM,” katanya.

Artikel Berkaitan:

 

Ringkasan AI

  • Kadar duti eksais ke atas rokok dinaikkan sebanyak dua sen bagi setiap batang bermula 1 November depan
  • Langkah tegas itu bagi mengurangkan prevalens perokok di negara ini
  • Pelarasan kadar duti melibatkan beberapa produk tembakau lain untuk menyokong pelaksanaan Agenda Nasional Malaysia Sihat
  • Pengecualian duti import dan cukai jualan untuk produk terapi gantian nikotin dilanjutkan sehingga 31 Disember 2027
  • Hasil tambahan dari kenaikan cukai rokok dan minuman keras akan disalurkan kepada Kementerian Kesihatan untuk Inisiatif Kesihatan Paru-Paru

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!