Belanjawan 2026: Pelepasan cukai anak OKU bawah 18 tahun dinaikkan RM10,000

KUALA LUMPUR - Pelepasan cukai pendapatan individu ke atas perbelanjaan pemeriksaan dan pengesanan, program intervensi awal serta rawatan pemulihan berterusan bagi anak kurang upaya berumur 18 tahun ke bawah dinaikkan kepada RM10,000 berbanding RM6,000.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, selain itu, bantuan hampir RM1.4 bilion akan disalurkan untuk orang kurang upaya (OKU) kronik terlantar, OKU tiada upaya bekerja dan elaun pekerja OKU.
"Tahun ini kita menubuhkan Pusat Perkhidmatan Autisme (PPA) di Semenanjung.
"Operasi PPA akan diperluas ke Labuan, Sabah dan Sarawak untuk manfaat 13,000 OKU autisme dan keluarga mendapatkan sokongan bersepadu," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat pada Jumaat.
Beliau menambah, Prasarana juga komited menyediakan 100 buah van mobiliti khas untuk memudahkan pergerakan golongan OKU.
"Van ini berupaya membawa sehingga tiga penumpang berkerusi roda dan dilengkapi dengan sistem pengangkat kerusi roda," katanya.
Belanjawan 2026 akan menyaksikan pengembangan dalam perbelanjaan awam berjumlah RM470 bilion berbanding RM452 bilion tahun lalu.
Ia meliputi RM338.2 bilion belanja mengurus (OE) Persekutuan, RM81 bilion belanja pembangunan (DE) Persekutuan, RM30 bilion pelaburan syarikat pelaburan awam berkaitan kerajaan (GLIC), RM10 bilion pelaburan awam-swasta dan RM10.8 bilion pelaburan Badan Berkanun Persekutuan dan Syarikat Menteri Kewangan (Diperbadankan) (MKD).
Ringkasan AI
- Pelepasan cukai pendapatan individu untuk perbelanjaan pemeriksaan dan pengesanan, program intervensi awal dan rawatan pemulihan bagi anak kurang upaya dinaikkan kepada RM10,000
- Bantuan hampir RM1.4 bilion akan disalurkan untuk orang kurang upaya kronik terlantar, OKU tiada upaya bekerja dan elaun pekerja OKU
- Pusat Perkhidmatan Autisme akan diperluas ke Labuan, Sabah dan Sarawak untuk manfaat 13,000 OKU autisme
- Prasarana menyediakan 100 buah van mobiliti khas untuk memudahkan pergerakan OKU
- Belanjawan 2026 meliputi pengembangan perbelanjaan awam berjumlah RM470 bilion
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
