Beg berisi dokumen Belanjawan 2026 hasil tangan OKU jadi simbol inklusif dan kelestarian

KUALA LUMPUR - Beg istimewa yang digunakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membawa dokumen Belanjawan 2026 ke Dewan Rakyat hari ini bukan sekadar simbol rasmi tetapi membawa makna mendalam tentang kecekalan, kelestarian dan keprihatinan terhadap golongan orang kurang upaya (OKU).
Panel tenunan pada beg Belanjawan 2026 itu dihasilkan secara tangan oleh Anthony Liew You Chung, 37, seorang belia OKU dari Kuching yang terlibat dengan Heart Treasures, sebuah perusahaan sosial yang menyediakan latihan, terapi dan peluang pekerjaan bermakna kepada golongan muda dengan ketidakupayaan fizikal serta intelektual.
Menghidap autisme dan masalah pendengaran, Anthony mahir menghasilkan projek seni dan kraf tangan.
Untuk beg ini, beliau menenun panel menggunakan sarung tangan nitril terpakai dan ditolak yang dihasilkan oleh Beyon Rubber, menjadikan bahan buangan sebagai simbol pembaharuan.
Kain bagi beg tersebut diperoleh daripada bahagian fabrik terbuang di sebuah kedai barangan terpakai di Taman Shamelin Perkasa, Kuala Lumpur manakala proses penghasilan beg dijalankan oleh Tanoti, sebuah perusahaan sosial berpusat di Kuching yang komited memperkasa penggiat seni kraftangan sambil mengekalkan warisan pertukangan tangan.
Anwar dijangka membentangkan Belanjawan Madani keempat di Dewan Rakyat pada jam 4 petang ini.
Ringkasan AI
- Beg istimewa Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, simbol kecekalan, kelestarian, dan keprihatinan terhadap OKU
- Panel tenunan pada Beg Belanjawan 2026 dihasilkan oleh Anthony Liew, OKU dari Kuching
- Anthony mahir dalam seni dan kraf tangan, memiliki autisme dan masalah pendengaran
- Panel untuk beg ditenun menggunakan sarung tangan nitril terpakai dari Beyon Rubber
- Kain beg dari fabrik terbuang di Kuala Lumpur, dibuat oleh Tanoti yang memperkasa penggiat seni kraftangan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

